Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos – Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam mengadakan Bengkel Visi Global IFLA selama dua hari bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka Lambak Kanan bertujuan berkongsi pendapat dan menyumbangkan idea-idea ke arah mencapai visi global.
Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Sariani binti Haji Ishak, Visi Global merupakan usaha IFLA yang menjemput dan menyatukan para pustakawan dari seluruh dunia bagi sama-sama meneroka bagaimana medan perpustakaan bersekutu (United Library Field) menangani cabaran-cabaran masa depan khususnya ancaman globalisasi dan sekali gus, mampu membina dan melahirkan masyarakat yang celik ilmu, bermaklumat dan saling terlibat.
Berucap semasa merasmikan bengkel berkenaan hari ini beliau berkata, usaha dan kesungguhan Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam yang berjaya mengorak langkah membawa suara warga pustakawan negara ini ke peringkat antarabangsa haruslah dicontohi.
“Persatuan ini sentiasa peka dan mengambil berat akan pembangunan perpustakaan di negara ini melalui penglibatan pelbagai usaha baik dalam peringkat nasional mahupun serantau,” ujar beliau sambil menyeru kepada para pustakawan di negara ini terutamanya daripada golongan muda untuk menjadi ahli Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam.
“Saya sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menyusun haluan masa depan perpustakaan di negara ini; meningkatkan tahap perpustakaan dan mempermudah pengaksesan maklumat melalui kerjasama dan kesalinghubungan teknologi dan meningkatkan profesionalisme para pustakawan melalui program persijilan agar kelayakan kita setanding di peringkat ASEAN,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perpustakaan Brunei, Dayang Nelli binti Dato Paduka Haji Sunny dalam ucapannya berkata, Visi Global IFLA merupakan usaha terbesar Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persatuan Perpustakaan (IFLA) yang dilancarkan secara global pada awal tahun ini yang disertai oleh 140 negara dari enam rantau untuk mewujudkan sebuah medan perpustakaan bersepadu dan bersambungan agar para pustakawan bersatu satu suara sejagat dalam menerokai cara-cara menangani cabaran-cabaran akan datang yang membuat impak ke atas perpustakaan.
Beliau berkata, cabaran-cabaran punca daripada peningkatan globalisasi hanya akan dapat diatasi melalui suatu respons global yang merangkumi para pustakawan, perpustakaan dan mereka yang di dalam bidang kepustakawanan.
“Kami merasa amat bangga dan berterima kasih kepada IFLA kerana diberi kepercayaan untuk mengendalikan bengkel ini di Brunei,” tambahnya.
Bengkel IFLA ini merupakan julung-julung kali para pustakawan tempatan ikut sama menyumbangkan idea sebagai suatu suara global.
Bengkel dua hari ini dihadiri oleh 32 orang peserta dari pelbagai sektor perpustakaan agar para pustakawan di negara ini dapat sama-sama mengikuti usaha membentuk visi global dan selepas bengkel ini mereka masing-masing akan meneruskan komitmen bagi menyedia peta jalan untuk masa depan.