SEMPORNA, 18 OGOS – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini telah dimaklumkan untuk meningkatkan usaha dalam semua aspek menjaga kebersihan di Semporna, kata Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hari ini.
Beliau berkata baru-baru ini berlaku kejadian keracunan makanan di sebuah pusat peranginan di Semporna dan kes itu dapat ditangani segera oleh pihak kesihatan manakala PBT turut bertindak mengeluarkan kompaun kepada pengusaha berkenaan.
“Menurut pihak berkuasa kesihatan, tiada wabak berlaku namun demikian perkara ini tidak harus dipandang ringan.
“Tidak ada sebab timbul kebimbangan atau kegelisahan kerana tiada wabak berlaku tetapi pada masa yang sama semua langkah yang perlu untuk memantau, mengawal dan menguat kuasa telah dan akan terus diambil,” katanya. – Bernama


