Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat usaha ke arah kepelbagaian ekonomi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Pihak berkenaan diseru memberikan tumpuan kepada kemajuan di luar bandar yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
     
    Pertumbuhan ekonomi yang perlahan di kawasan luar bandar adalah berpunca daripada kekurangan infrastruktur seperti jaringan-jaringan jalan raya, kemudahan telefon dan Internet, infrastruktur yang tidak mencukupi, yang menyekat pencapaian kepada perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan.
     
    Perkara itu ditekankan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub dalam ucapan menjunjung kasih ketika menyentuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai mempertingkatkan usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi, pada hari kedua Persidangan MMN ke-20, hari ini.
     
    Beliau seterusnya menambah, cabaran yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar adalah bergantung kepada sektor tradisi seperti pertanian, perhutanan dan perikanan. “Walaupun sektor ini memainkan peranan penting bagi menjana pendapatan rakyat di luar bandar, ianya juga terdedah kepada pelbagai cabaran seperti harga barangan yang tidak menentu.
     
    “Kekurangan penggunaan teknologi canggih dan inovasi kreatif di kawasan luar bandar turut menghalang potensi pertumbuhan ekonomi yang diharap-harapkan,” tambahnya.
     
    Dalam hal itu, ujarnya lagi, sebarang usaha yang sedia ada semestinya diusahakan dengan lebih cepat bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di luar bandar. Antara tumpuan utama adalah membangun infrastruktur yang menjadi pemangkin kepada usaha lain termasuk memperkasakan sumber tenaga manusia di kawasan luar bandar dari segi pendidikan dan ekonomi. “Langkah ini akan membuka potensi ekonomi kawasan luar bandar secara lebih seimbang dan inklusif,” ujarnya. 
     
    Ke arah itu, adalah penting bagi pihak kerajaan sektor swasta dan masyarakat untuk bekerjasama dalam melaksanakan intervensi atau insentif, dan sasaran tujuan bagi meningkatkan ekonomi dan masa depan penduduk luar bandar.
     
    Yang Berhormat Haji Mohamad Danial @ Tekpin menyentuh mengenai mempertingkatkan usaha ke arah mempelbagaikan ekonomi. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
     
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda