Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat usaha pastikan anak-anak hadir ke sekolah, elak tercicir

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Kementerian Pendidikan memandang serius kepada isu pelajar yang tidak hadir ke sekolah dan tercicir, ke arah itu beberapa usaha giat dilaksanakan bagi membantu mencegah pelajar-pelajar berkenaan.

    Ini dengan mengadakan lawatan ke rumah-rumah, bekerjasama bersama pemimpin akar umbi seperti penghulu dan ketua kampung dan agensi berkenaan serta penglibatan persatuan ibu bapa dan guru (PIGB).

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh menjelaskan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai isu pelajar tercicir dan tidak hadir ke sekolah pada hari ke-11 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Yang Berhormat Datin seterusnya mengongsikan, berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Perkembangan dan Penyelidikan pada 2022, jumlah pelajar yang tercicir adalah seramai 212 orang iaitu 0.28 peratus daripada 75,835 pelajar.

    Di samping usaha-usaha tersebut, pihak kementerian juga telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menangani isu berkenaan termasuk sesi pembarigaan pindaan Akta Pendidikan Wajib dan kepentingan kehadiran yang melibatkan warga sekolah, ibu bapa, pelajar dan pihak berkepentingan.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menekankan kementeriannya memandang serius isu pelajar tercicir.
    – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Selain itu, penempatan pelajar yang mempunyai isu kehadiran dan kurang berkemampuan di asrama Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah untuk mengikuti Program Ri’ayah Al Mahabbah.

    Menurut Yang Berhormat Datin lagi, kementeriannya telah mengubah strategi pembarigaan Akta Pendidikan Wajib, di mana sebelum ini pembarigaan adalah mengenai penalti bagi ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah, dan tindakan yang diambil.

    “Bermula pada 1 November 2023, pendekatan tersebut diubah kepada pembarigaan kepentingan Akta Pendidikan Wajib, kepentingan untuk hadir ke sekolah dan mana-mana pelajar yang tidak hadir atas sebab yang tertentu, disarankan untuk datang ke Kementerian Pendidikan untuk bekerjasama dan dibantu,” tambahnya.

    Katanya lagi, “Sejak pendekatan baharu ini dibarigakan, seramai 13 orang yang terkeluar daripada sistem persekolahan telah tampil untuk masuk ke dalam sistem persekolahan.

    “Apabila seorang pelajar meninggalkan sekolah sebelum menamatkan pendidikan, dia akan kehilangan peluang untuk memperolehi kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam kehidupan, dan ini boleh membawa kepada isu sosial seperti pengangguran, kemiskinan dan kesihatan mental,” tegasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda