Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JAN – Bulan Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram dan Allah SWT memuliakan bulan-bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain.
Melakukan ketaatan dalam bulan tersebut bakal memperoleh ganjaran yang besar. Oleh itu, sebahagian ulama khususnya ulama mazhab Imam Asy-Syafie’e menghukumkan sunat untuk memperbanyakkan puasa dalam bulan itu.
Selain itu, umat Islam diseru untuk meningkatkan amalan-amalan lain seperti menghidupkan malam-malam dengan qiamullail, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.
Perkara berkenaan antara yang disentuh di dalam tazkirah bertajuk Kelebihan Bulan Rejab yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, bagi menyerikan lagi Malam Munajat kali ke-168 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Acara Munajat semalam mengundang tetamu khas iaitu Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB, Haji Mohd Rudzaini bin Haji Mohammad, yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Surau Utama KUPU SB.
Turut sama mengimarahkan acara tersebut ialah tenaga akademik dan para pelajar dari KUPU SB dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB); ahli jawatankuasa takmir dan jemaah dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang berjumlah 65 buah di seluruh negara.
Juga menyertai ialah warga kerja KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan juga individu yang turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.
Acara diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh alumni ITQSHHB, Haji Abdul Rahim bin Haji Abas, dari Musolla institut berkenaan. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Penolong Pensyarah, Fakulti Usuluddin, KUPU SB, Haji Mohamad Azmi bin Haji Omar dari surau utama kolej berkenaan.
Selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Zikir Al-Maghfirah Wa Ar-Rahmah beramai-ramai dipimpin oleh Siswa Tahun 1, Diploma Tertinggi ‘Aliyah Qiraat, ITQSHHB, Awang Muhammad Zulhelmi Hashim bin Jainudin. Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Mohd Zaidin bin Haji Mohd Noor dari Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.
Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.
Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap Sabtu malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.