Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan ilmu sastera bandingan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Okt – Negara Brunei Darussalam menjadi negara terakhir dalam Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA XXI, 2018 tahun ini yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada siri kuliah berkenaan ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Mohd Azurin bin Haji Othman.

    Siri kuliah ini merupakan projek tahunan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang mana projek ini menjadi tanggungjawab MASTERA Malaysia dengan kerjasama MASTERA Brunei Darussalam, MASTERA Indonesia, MASTERA Malaysia, MASTERA Singapura dan MASTERA Thailand.

    Pada tahun ini, tajuk kuliah ialah ‘Rekonstruksi Sosial Drama Melayu/Indonesia’ dengan Awang Mohd. Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff dari Brunei, dilantik sebagai pembimbing kuliah.

    Pengerusi projek, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin selaku setiausaha MASTERA Brunei Darussalam menjelaskan, kesusasteraan bandingan merupakan satu cabang ilmu kesusasteraan moden yang lahir pada kurun 19 di bawah pengawasan sarjana Perancis bernama Phillman dan Prontel, di Paris, Perancis.

    Awang Mohd Azurin ketika menghadiri Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan MASTERA XXI yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Menurutnya, cabang kesusasteraan moden ini terhasil menerusi kajian mereka terhadap pengaruh kesusasteraan Yunani dan Latin dalam kesusasteraan Perancis.

    Kesusasteraan bandingan adalah kajian teks lintas budaya yang berciri rentas disiplin dan berkaitan dengan pola hubungan dalam kesusasteraan lintas ruang dan waktu, tambahnya.

    Antara objektif kuliah ini adalah untuk memberi bimbingan dan pendedahan kepada penyelidik dan karyawan sastera di Asia Tenggara tentang disiplin kesusasteraan bandingan.

    Di samping membina dan meningkatkan kepakaran serta mencetuskan dialog intelektual dalam kalangan penyelidik/pengkaji dan karyawan sastera selain menerbitkan bahan kuliah untuk dijadikan bahan rujukan tentang kesusasteraan bandingan bagi para pelajar dan khalayak sastera.

    Kuliah tersebut dihadiri oleh kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan, tenaga pengajar dan pelajar institusi pengajian tinggi, serta para persatuan, kelab, penulis, penggiat sastera dan syarikat-syarikat produksi di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda