Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Pelancongan sukan boleh membawa manfaat besar kepada penganjur destinasi, dengan mengadakan acara sukan antarabangsa juga boleh memperbaiki dan meningkatkan peluang memperkenalkan tempat acara berlangsung.
Ini sekali gus menjadi negara tempat tarikan pelancong seterusnya meningkatkan ekonomi tempatan dan memberi kesedaran di kawasan tersebut. Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Risalah Brunei Sports and Adventure di Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC), hari ini.
Perasmian risalah tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali dalam ucapannya turut berkongsi laporan dalam talian daripada The Business Research Company di mana Industri Sukan Global telah mencapai nilai hampir AS$488.5 bilion pada 2018 dan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 4.3 peratus sejak 2014.
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), jelas Yang Berhormat Dato, telah menjadi penggerak dalam membangunkan industri sukan di Brunei Darussalam dan ia telah menyediakan institusi sukan, pelbagai tempat dengan kemudahan dan infrastruktur moden untuk terus membangunkan komuniti sukan.

Beliau seterusnya berharap dengan kerjasama berterusan bersama KKBS ia boleh menarik lebih banyak acara sukan ke negara in di samping memanfaatkan kemudahan dan menjana impak positif untuk Negara Brunei Darussalam.
“Dengan pelancaran risalah Brunei Sports and Adventure ini, Kementerian KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan akan dapat mempromosikan aktiviti sukan rekreasi dan pengembaraan yang boleh didapati di negara ini kepada pelawat tempatan dan juga antarabangsa,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, Jabatan Kemajuan Pelancongan de-ngan kerjasama penyedia perkhidmatan dan pengendali pelancongan telah mengenal pasti beberapa aktiviti menarik antaranya mendaki, berkhemah, sukan air dan menyelam, memanah, bermain golf, memerhati burung dan lainnya.
Dengan pelancaran risalah itu, KSSUP tidak hanya berharap ia akan meningkatkan industri sukan di Brunei, tapi dapat mewujudkan kesedaran yang lebih baik kerana aktiviti dan pengembaraan berkenaan mudah didapati di negara ini untuk semua pelawat alami dan nikmati.
Aktiviti-aktiviti dalam risalah berkenaan turut direka untuk menggalakkan kehidupan lebih sihat dan menjelajah Brunei, dalam masa yang sama ia juga memberi peluang berharga untuk semua.
Pada majlis itu, kedua-dua menteri berpeluang melihat lebih dekat lagi pakej-pakej dan menyaksikan aktiviti sukan yang ditawarkan oleh agensi yang terlibat dalam mempromosi Brunei Sports and Adventure seterusnya berinteraksi bersama pihak yang terlibat.
Turut hadir pada majlis itu ialah diplomat asing ke negara ini, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, para pegawai kanan kerajaan dan ahli-ahli Lembaga Pelancongan Brunei.