Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 14 SEPT- Program Hayya Ilal ‘Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) bertemakan Ke Arah Pelajar Celik Sirah Nabi SAW telah diadakan di Mahad Islam Brunei, kelmarin.
Program bertujuan memupuk minat, meningkatkan kemahiran dan mengukuhkan budaya bertutur dalam bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab.
Hadir selaku tetamu khas di majlis itu, Pemangku Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Umiyati binti Haji Mohammad Noor.

Antara pengisian atur cara termasuk perasmian program, pertandingan mengeja, persembahan Tausyeh serta lawatan ke petak-petak permainan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Pengetua Mahad Islam Brunei, Dayang Rozilah binti Haji Mohd Noor.
Program Hayya Ilal ‘Arabiyyah merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam yang dikendalikan oleh sekolah-sekolah Arab.


Ia menjadi platform praktikal bagi pelajar untuk mengaplikasikan bahasa Arab dalam aktiviti kokurikulum sekali gus meningkatkan keyakinan diri mereka dalam bertutur dan menggunakan bahasa tersebut secara aktif.
Dengan adanya program seumpamanya ia akan dapat diteruskan dan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain bagi melahirkan generasi muda yang fasih berbahasa Arab serta celik akan sejarah dan perjuangan Rasulullah SAW.



