Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) terus melaksankan usaha meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia menerusi program penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya di kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Sehubungan dengan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (H.A.P.P.Y), sebuah projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) di kalangan remaja dan belia.
Program yang berlangsung kelmarin di Sekolah Menengah Katok (SMK) dengan melibatkan kira-kira 50 pelajar hadir ke ceramah yang disampaikan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif BDAIDS Council, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dan Nurul Adilah Mahmud dan menyertai aktiviti-aktiviti bersama ahli pasukan H.A.P.P.Y.
Semasa ceramah berkenaan, mereka mengongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu dan menyarankan sikap berpantang sebagai antara kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam sebagai tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.
Program itu merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta juga aktiviti interaktif bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej yang disampaikan dengan disesuaikan kepada situasi tempatan.
BDAIDS Council berharap supaya para pelajar akan membawa pulang mesej-mesej yang disampaikan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran serta dapat dilaksanakan dalam gaya hidup seharian mereka.