Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan kesedaran kanser payudara golongan lelaki

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Kanser payudara pada kebiasaannya di kesan dalam kalangan wanita dan ia merupakan penyebab utama kematian wanita di seluruh dunia.

    Akan tetapi, golongan lelaki juga berisiko untuk mendapat kanser payudara dan dianggarkan kurang daripada 1 peratus kes kanser payudara berlaku dalam kalangan lelaki, akan tetapi kadar kematian akibat kanser dalam kalangan lelaki adalah lebih tinggi disebabkan oleh kurang kesedaran mengenai perkara tersebut.

    Kanser payudara lelaki mempunyai simptom yang sama seperti kanser payudara wanita dan antara simptom tersebut ketulan yang tidak menyakitkan dan terdapat perubahan pada kulit yang meliputi payudara seperti kemerahan dan kedutan.

    Lelaki yang menghidap kanser payudara perlu menjalani ujian genetik kerana kanser payudara lelaki berkait rapat dengan mutasi genetik dan berkait dengan kanser lain seperti kanser prostat.

    Selain daripada itu, golongan lelaki yang menghidap kanser payudara juga disarankan untuk mendapatkan nasihat perubatan mengenai ujian genetik tersebut.

    Perkara tersebut dikongsikan dalam pameran sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang dianjurkan oleh Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (EDCP) Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC).

    Pameran tersebut turut memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui sedikit sebanyak maklumat mengenai perkembangan kanser payudara di negara ini, di mana kira-kira satu daripada 16 orang wanita di negara ini didiagnosis menghidap kanser payudara sepanjang hayat mereka.

    Pada tahun 2018, kira-kira 132 kes kanser ini didiagnosis setiap tahun dan trend ini membimbangkan kerana kes-kes ini dijangka meningkat menjadi 240 menjelang tahun 2040.

    Menurut statistik, Daerah Brunei dan Muara mencatat jumlah peratus tertinggi kes kanser payudara diikuti dengan Daerah Belait, Tutong dan Temburong. Sementara mengikut kumpulan peringkat umur menunjukkan, golongan yang berumur antara 50 hingga 59 tahun mencatat 30 peratus lebih tinggi daripada kumpulan umur 40 hingga 49 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda