Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan kesedaran kempen menderma darah

    Oleh Sim Y. H.

    Tidak dapat dinafikan bahawa penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda Negara Brunei Darussalam mempunyai kesan kepada pelbagai aktiviti harian rakyat dan penduduk negara termasuk aktiviti menderma darah.

    Dengan negara melaksanakan pelbagai langkah untuk menangani serta membendung penularan pandemik COVID-19 termasuk keperluan untuk melarang perkumpulan ramai dan penekanan perlunya penjarakan fizikal, banyak kempen menderma darah yang dijadualkan terpaksa dibatalkan.

    Pada masa yang sama, banyak penganjur bersama dan koordinator kempen derma darah membatalkan acara mereka disebabkan oleh penularan pandemik berkenaan serta larangan yang dikeluarkan.

    Pada tahun 2019, secara purata jumlah darah yang berjaya di kumpul semasa kempen derma darah bergerak ialah kira-kira 800 unit, tetapi dengan kejadian pandemik global pada masa ini, jumlah yang di kumpulkan semasa kempen derma darah bergerak telah menurun sebanyak 38 peratus.

    Manakala itu, dari segi jumlah kempen derma darah pula, pada tahun 2019, secara purata sebanyak 20 kempen diadakan dalam masa sebulan tetapi dalam tempoh 3 bulan kebelakangan ini, jumlah purata berkenaan telah menurun kepada 11 dan pada April 2020 sahaja, cuma 6 kempen derma darah sahaja yang diadakan. Perkara itu telah menyebabkan stok darah yang rendah di Pusat Pendermaan Darah dengan permintaan bagi penggunaan darah terus kekal tinggi.

    Dr Haji Zulaidi (kiri) dan TYT Richard Lindsay (kanan) ketika memberikan penerangan mengenai dan melancarkan Kempen Drop Your Blood Letters, baru-baru ini.
    Kempen menderma darah yang dianjurkan bagi menyokong usaha Pusat Pendermaan Darah untuk menambah stok bekalan darah bagi kegunaan mereka yang memerlukan.

    Dalam usaha untuk menggalakkan orang ramai untuk terus menderma darah dan memastikan bahawa kebajikan para penderma darah diberikan keutamaan khususnya serta sama-sama menangani pandemik COVID-19, Pusat Pendermaan Darah telah melaksanakan beberapa perubahan pada proses menderma darah seperti menggunakan sistem perjanjian untuk mengawal serta mengurangkan kesesakan dan mengekalkan penjarakan fizikal di pusat berkenaan.

    Pada masa yang sama, pelbagai prosedur juga dilaksanakan seperti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan suhu badan, kebersihan tangan serta memakai penutup hidung dan mulut bagi memastikan bahawa keselamatan setiap penderma darah dan risiko jangkitan dapat diminimumkan semasa menderma darah.

    Pusat berkenaan mendapati bahawa langkah-langkah yang dilaksanakan itu mendapat sambutan yang positif di kalangan orang ramai di mana jumlah penderma darah dan juga mereka yang berhasrat untuk menderma darah di pusat itu telah meningkat.

    Di samping itu, pada bulan Ramadan, jumlah pendermaan darah juga menurun di mana penderma darah yang bergama Islam tidak dapat menderma darah pada siang hari dan oleh itu, Pusat Pendermaan Darah melanjutkan waktu operasinya dan membuka pintu bagi penderma darah pada waktu malam pada hari-hari terpilih.

    Selain daripada itu, pusat berkenaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk menganjurkan kempen menderma darah menggunakan sistem tempahan termasuk kementerian-kementerian kerajaan, organisasi bukan kerajaan dan sektor swasta seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menerusi Majlis Belia Brunei dan Sukarelawan Belia yang telah menganjurkan kempen menderma darah di mana mereka mengamalkan penjarakan sosial sepanjang aktiviti menderma darah berkenaan.

    Dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai orang untuk tampil ke hadapan menyokong dan meningkatkan lagi kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pentingnya menderma darah di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam telah melancarkan kempen kesedaran derma darah, Drop Your Blood Letters, baru-baru ini.

    Kempen Drop Your Blood Letters, adalah sebuah kempen kesedaran yang bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan darah dan untuk meningkatkan jumlah orang yang menerima darah di Pusat Pendermaan Darah.

    Kempen itu boleh disertai oleh semua orang di mana mereka boleh memuat naikkan gambar nama mereka atau nama organisasi mereka tanpa menggunakan huruf, A,B dan O di media sosial serta menyertakan hashtag #british.hc.bn, #bloodbank_ripas, #dropyourbloodletters dan #ukinbrunei.

    Menurut Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, inisiatif Drop Your Blood Letters bukan sekadar kempen menderma darah sahaja tetapi ia merupakan kempen kesedaran dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran menderma darah di Negara Brunei Darussalam.

    Menerusi inisiatif itu, diharap ia akan meningkatkan jumlah orang yang menderma darah khususnya semasa Bulan Ramadan apabila stok darah adalah berkurangan. Kempen yang serupa juga dilancarkan di United Kingdom (UK) tiga tahun dahulu di mana ia berjaya untuk menarik kira-kira 30 ribu orang penderma darah baru semasa minggu pertama kempen berkenaan dilancarkan.

    Oleh itu, penyertaan orang ramai dalam menyokong kempen serta sama-sama menderma darah adalah amat penting sekali kerana satu penderma darah boleh membantu menyelamatkan nyawa sehingga 3 orang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda