Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Dalam sama-sama memikul tanggungjawab serta untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam dengan kolaborasi Green Brunei mengadakan kegiatan kebersihan pantai yang berlangsung di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, hari ini.
Hadir untuk sama-sama menyertai kegiatan berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald dan ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pengasas bersama Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari serta sukarelawan dari Green Brunei dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapan ringkasnya sebelum bermula acara berkenaan, PYT McDonald menyatakan kegiatan itu merupakan usaha Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam untuk sama-sama memainkan peranan dalam komitmennya untuk menangani perubahan iklim dengan meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.
Pada masa yang sama, ia merupakan sumbangan pihaknya termasuk kakitangan Suruhanjaya Tinggi Australia untuk sama-sama dengan komuniti Brunei untuk menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar serta untuk menggalakkan masyarakat memelihara warisan alam sekitar indah mereka.
Beliau turut berkata bahawa Australia telah mengambil pelbagai tindakan yang bercita-cita tinggi untuk mengurangkan pengeluaran serta pada masa yang sama membangunkan pertumbuhan ekonomi.
Sejak 2017, Australia telah melaburkan lebih daripada $30 bilion dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui dengan Australia mempunyai penggunaan solar atas bumbung terbesar di dunia di mana satu dalam empat buah rumah pada masa ini menggunakan panel solar.
