Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Para graduan harus mempertingkatkan keupayaan diri sebagai satu persiapan dalam menempuh alam pekerjaan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga untuk mengenal bagaimana para graduan memainkan peranan penting ke arah pembangunan negara.
“Inilah sumbangan yang dicari dan diperlukan yang akan memberikan seorang graduan kelebihan dalam berdaya saing,” tekan Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim ketika berucap pada Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam ke-3 yang berlangsung di Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.
Beliau berkata, pada zaman ini, para graduan harus ingat bahawa ia bukannya seperti dahulu di mana apabila sahaja mereka tamat pengajian dan mendapat ijazah, mereka akan mudah sahaja mendapat pekerjaan.
Mereka kini perlu menghadapi cabaran untuk mencari pekerjaan sama ada di sektor kerajaan atau swasta atau berusaha untuk membuka perniagaan dan perusahaan mereka sendiri.
“Namun ini bukanlah titik noktah untuk berhenti daripada menimba ilmu, kita masih saja punya masa dan peluang yang luas untuk meningkatkan diri selaras dengan pasaran kerja global yang pesat berubah,” tekannya.

Beliau turut menyatakan bahawa para peserta perkampungan sivik lepasan ijazah merupakan bakal pemimpin yang akan menjadi penggerak pembangunan bangsa dan negara.
Dalam hubungan itu, para peserta perlu diberikan kefahaman dan maklumat mengenai falsafah, aspirasi dan matlamat negara supaya mereka dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang berkesan. Pada masa yang sama, diharap supaya segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang perkampungan sivik itu akan digunakan sepenuhnya oleh para peserta untuk menjadi ejen masyarakat dan untuk memiliki jati diri serta sikap yang mantap.
Program perkampungan berkenaan disertai oleh 36 orang peserta iaitu lima orang peserta lelaki dan 31 orang peserta perempuan di mana mereka berkampung selama enam hari dan lima malam di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Semasa program berkenaan, mereka berpeluang untuk mengikuti pelbagai bentuk sesi perkampungan termasuk taklimat dan sesi dialog, sesi percambahan fikiran, forum kesukarelawanan, pertandingan, aktiviti sukan dan riadah, aktiviti keagamaan, lawatan dan kempen kebersihan.
Program itu merupakan satu projek yang dilaksanakan melalui strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka, selaras dengan visi jabatan sebagai salah sebuah agensi peneraju kerajaan dalam menyampaikan dan menyebarkan maklumat rasmi kerajaan.
Ia juga menjadi platform ke arah melengkapkan para peserta untuk mampu berdaya saing, mampu mendepani segala cabaran dan mampu merebut peluang-peluang pekerjaan.
Program Perkampungan Sivik yang dikendalikan sejak 1976 bukan sahaja menumpukan kepada lepasan ijazah sebarang laut tetapi kini dilanjutkan kepada lepasan ijazah tempatan yang belum bekerja atau berminat menjadi pengusaha.