Saturday, May 3, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan keupayaan industri tempatan

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 2 MEI – Kakitangan utama serta wakil dari komuniti industri dan pemeriksaan utama negara telah terlibat dalam sebuah pencapaian penting iaitu Pameran, Seminar dan Bengkel Panel Ujian Tanpa Musnah (NDT) Peringkat Lanjutan, yang diadakan selama dua hari pada 28 hingga 29 April di Pusat SPARK, Taman Perindustrian Sungai Liang.

    Acara tersebut menjadi platform pertukaran ilmu serta penerokaan inovasi terkini dalam teknologi NDT Peringkat Lanjutan. Ia ditaja oleh Brunei Fertiliser Industries (BFI) dan Brunei Rotary Engineering (BRE), serta diselaraskan bersama oleh Persatuan Ujian Tanpa Musnah Singapura (NDTSS).

    Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Dr Harri Kiiski dan Pengarah BRE, Koh Chun Peng, merasmikan bengkel tersebut. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Brunei Darussalam, Tuan yang Terutama Laurence Bay, serta wakil dari SHENA dan Pusat Standard Kebangsaan.

    Sorotan utama seminar termasuk Ucapan Dasar oleh Pengerusi Jawatankuasa Antarabangsa untuk Ujian Tanpa Musnah (ICNDT) dan Presiden NDTSS, Dr Sajeesh Kumar Babu, yang menekankan peranan teknologi NDT lanjutan dalam meningkatkan kecemerlangan operasi dan pengurusan aset mampan.

    Pameran turut menampilkan tujuh penyedia penyelesaian NDT terkemuka dan siri pembentangan teknikal daripada lima penceramah antarabangsa, disertai sesi panel pakar tempatan, dengan fokus kepada kaedah pengesanan kakisan terkini bagi meningkatkan keselamatan loji, kebolehpercayaan dan jangka hayat aset.

    Panel pembentang semasa seminar tersebut. – GAMBAR SERAHAN BTS SDN BHD
    GAMBAR SERAHAN BTS SDN BHD
    GAMBAR SERAHAN BTS SDN BHD

    Ia merupakan pameran dan seminar teknikal pertama Brunei yang khusus kepada NDT, memberikan peluang unik kepada jurutera pemeriksaan, profesional penyelenggaraan dan pengendali loji tempatan untuk menetapkan penanda aras baharu serta memperkukuhkan kecekapan teknikal masa hadapan.

    Seminar itu bukan sahaja mengukuhkan kepentingan NDT lanjutan dalam menjamin integriti dan kebolehpercayaan loji, malah membuka jalan ke arah kerjasama masa depan, perkongsian ilmu dan inovasi dalam sektor perindustrian Brunei yang kian berkembang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda