Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 15 Jan – Industri penternakan negara diseru terus meningkatkan dan mengembangkan lagi pengeluaran, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menambahkan lagi sumbangan dalam peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bukan sahaja dapat memenuhi pasaran tempatan malahan menerokai pasaran eksport.
Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong membuat seruan itu semasa ditemubual pada lawatan singkatnya ke ladang penternakan Syarikat QAF Farm Sdn Bhd di Kampung Mungkom Kiudang hari ini.
Yang Berhormat Dato Seri Setia turut menggesa industri penternakan komersial negara untuk meningkatkan lagi usaha memperluaskan operasi dan menerokai pasaran luar seperti Jepun, Korea Selatan, Singapura dan lain-lain lagi serta tidak hanya berpuas hati dengan kadar pengeluaran semasa mereka.
Menurut beliau, lawatan rasminya ke ladang Syarikat QAF Farm Sdn Bhd merupakan kesinambungan daripada siri-siri lawatannya ke beberapa buah kawasan perladangan sebelum ini.
Pada lawatan itu, beliau turut melahirkan rasa kagum dan tertarik dengan kaedah biosekuriti ketat yang diamalkan syarikat tersebut apabila para pelawat perlu melalui proses membersihkan badan serta menggunakan pakaian khas yang disediakan untuk mengelak sebarang penyakit ke atas ternakan mereka.


“Ini seharusnya menjadi contoh terbaik kepada peladang-peladang lain,” tambah Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.
Beliau juga percaya syarikat tersebut berpotensi besar untuk berkembang pesat, meningkatkan lagi pengeluaran ayam pedaging dan menambah pengeluaran telur ayam dalam dalam penternakan mereka serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ladang-ladang lain juga perlu berbuat demikian. Negara kita memerlukan perkembangan dalam semua bidang, kerana jika ia masih sama, peluang-peluang pekerjaan tidak akan tercipta. Daripada perkembangan, juga akan ada perkembangan dalam pekerjaan.
“Ini sama juga bagi semua perniagaan di negara ini, sama ada kecil atau besar, atau sederhana,” tegas Yang Berhormat Dato.
Ketibaan Yang Berhormat Dato Seri Setia telahpun dialu-alukan oleh Pengurus Besar Syarikat QAF Farm Sdn Bhd, Awang Bohari bin Dasin yang turut menyampaikan taklimat lanjut mengenai latar belakang ladang dan hala tuju pengeluaran ayam pedaging bagi tahun ini.
Menurut Awang Bohari, ladang tersebut telahpun mula beroperasi pada tahun 2001. Setelah 18 tahun beroperasi, pengeluaran syarikat tersebut bermula sekitar 1.5 juta ekor ayam pedaging setahun.


Pada tahun 2017, pengeluaran ayam pedaging telahpun meningkat hampir kepada 2.5 juta (3728 metrik tan).
Awang Bohari berkata peningkatan adalah beransur-ansur dengan mengambil kira keadaan pasaran tempatan. Dengan sokongan beberapa agensi kerajaan berkaitan, syarikat tersebut kini mula mempertimbangkan peluang eksport terutamanya ke negara-negara maju dengan menjadikan jenama Brunei Halal sebagai salah satu kekuatannya. Ladang QAF mempunyai 15 reban ayam di atas tanah seluas 65 hektar dan tiap-tiap reban boleh menampung 30,000 ekor ayam. Setiap reban hanya memerlukan seorang pengendali dengan menggunakan sistem automatik reban tertutup.
Pemberian dan pengurusan makanan juga disediakan secara automatik dengan kapasiti 12 metrik tan bagi setiap silo pada setiap reban. Struktur reban juga dilengkapi dengan 18 buah kipas dan satu sistem penyejuk yang dapat mengawal suhu dalaman reban.
Jabatan Pertanian dan Agrimakanan sentiasa memberikan sokongan yang berterusan melalui khidmat nasihat, penyediaan kawasan atau tapak yang bersesuaian dalam mengusahakan ternakan ayam, lebih-lebih lagi di dalam penggunaan teknologi tinggi.
Ini akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dan pengeluaran ayam pedaging bagi pasaran tempatan dan seterusnya menembusi pasaran luar negeri dengan Program Piawaian Ladang Dalam Pengurusan Penternakan (kebersihan dan biosekuriti ladang).