Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Tingkatkan pelaburan, bantu wanita terus mara

    KUALA LUMPUR – Kisah penjagaan anak Husna Hayati Jarni bermula – seperti lazimnya apabila berkaitan wanita, kerjaya dan anak – dengan peletakan jawatan.

    Pada awalnya, bekas jurutera minyak dan gas berusia 38 tahun itu yang berkahwin dengan rakan sejawatan dan melahirkan anak sulung mereka lebih sedekad lalu, menyangkakan dia masih boleh meneruskan kerjaya sekalipun sudah berkeluarga.

    Namun realiti menyangkal telahannya. Tidak lama selepas melahirkan anak lelaki pertamanya, dia memutuskan untuk berhenti kerja, dan antara penyebab ialah syif kerja dia dan suami yang tidak menentu.

    “Pada masa itu saya bekerja di Labuan. Kami berusaha mencari pengasuh dan juga pusat jagaan terbaik, namun amat sukar, menyebabkan saya terpaksa melupakan kerjaya,” kongsinya dengan Bernama menerusi Zoom.

    Sekalipun kisah bermula dengan Husna “mengorbankan” kerjaya sebagai jurutera minyak dan gas, kariernya tidak berakhir di situ.

    Pelbagai kajian menunjukkan sokongan penjagaan anak merupakan kunci kepada keupayaan wanita untuk kembali bekerja, sama ada dalam bentuk waktu kerja anjal, kemudahan penjagaan anak yang baik ataupun subsidi kos penjagaan anak.
    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama penerima-penerima Sijil Penghargaan Majikan Prihatin selepas merasmikan Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, baru-baru ini. – Bernama

    Selepas menjadi ibu sepenuh masa selama dua tahun, dia mendapati anaknya perlukan pusat asuhan khas selepas didiagnosis mengalami autisme. Wanita itu kemudian menyambung pengajian di peringkat sarjana secara sambilan sebelum menyertai warga kerja Universiti Teknologi MARA sebagai pensyarah kejuruteraan. Dia kini dalam proses mendapatkan ijazah doktor falsafah.

    Dalam tempoh itu juga keluarganya bertambah besar dengan kelahiran dua lagi anak – seorang perempuan dan seorang lelaki yang kini masing-masing berusia lima dan empat tahun.

    Tidak seperti kebanyakan ibu bekerjaya di Malaysia, Husna berjaya kembali ke pasaran buruh selepas berhenti sekejap untuk menguruskan keluarga. Pakar menggambarkan pasaran buruh wanita di Malaysia sebagai pasaran satu puncak, iaitu mereka menyertai pasaran tenaga kerja selepas tamat pengajian yang mencetuskan satu puncak, namun tidak ada puncak kedua yang boleh dilihat di Jepun dan Korea Selatan, di mana kaum Hawa mereka kembali bekerja selepas “berehat” seketika.

    Husna juga berjaya menemukan kemudahan penjagaan anak yang bagus dengan bayaran berpatutan – sesuatu yang agak sukar dinikmati oleh kebanyakan wanita bekerjaya di negara ini.

    Kongsinya lagi, dia juga bertuah kerana mempunyai waktu kerja anjal dan sokongan suami yang mengambil alih tugas memasak dan mengurus anak sulung mereka – selain boleh bergantung harap pada ahli keluarga yang lain untuk mengasuh anak sekiranya keadaan memerlukan.

    Kerja tidak berbayar
    Pelbagai kajian menunjukkan sokongan penjagaan anak merupakan kunci kepada keupayaan wanita untuk kembali bekerja, sama ada dalam bentuk waktu kerja anjal, kemudahan penjagaan anak yang baik ataupun subsidi kos penjagaan anak.

    Tinjauan Wanita dalam Pasaran Buruh 2020 yang dijalankan oleh Asia Foundation dengan kerjasama Merdeka Centre mendapati 47 peratus daripada 605 responden menjawab waktu kerja anjal sebagai insentif terbaik mereka untuk kembali ke pasaran tenaga kerja, sementara 32 peratus memilih kemudahan penjagaan anak berkualiti.

    Kerajaan selama ini telah memperkenalkan pelbagai skim untuk menggalakkan wanita kembali bekerja. Pada 2019, kerajaan memperkenalkan Women@Work yang menyediakan elaun RM500 sebulan untuk golongan ibu yang kembali bekerja, namun usaha itu terjejas dek penularan COVID-19.

    Terbaharu, kerajaan melancarkan inisiatif Jamin Kerja yang menawarkan subsidi gaji hingga setahun kepada majikan yang mengambil wanita dan lain-lain kumpulan bekerja serta pengecualian cukai pendapatan buat wanita yang kembali ke pasaran buruh, iaitu program yang diuruskan oleh TalentCorp.

    Di sebalik inisiatif berkenaan, Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan kadar penyertaan pekerja wanita (FLPR) di Malaysia, iaitu 55.5 peratus, kekal sebagai antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN. Kira-kira 42 peratus daripada 7.27 juta orang yang berhenti kerja menyatakan tanggungjawab terhadap rumah tangga dan keluarga sebagai alasan mereka tidak dapat bekerja.

    Di samping itu, walaupun bekerja, wanita masih terikat dengan sebahagian besar kerja di rumah. Menurut tinjauan Asia Foundation, wanita kehilangan peluang untuk bekerja selain lebih berkecenderungan diberhentikan disebabkan oleh kerja tidak bergaji di rumah.

    Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada 2019 mengenai ketidaksetaraan gender, kerja penjagaan tidak bergaji serta penggunaan masa, mendapati wanita menghabiskan secara purata 3.6 jam setiap hari bagi melakukan kerja-kerja rumah yang tidak berbayar, berbanding 2.2 jam oleh kaum Adam.

    Antara sebabnya ialah budaya. Analisis McKinsey bertajuk “Women Matter: Asia Perspective” pada 2012, mendapati kaum Hawa memikul beban berganda dalam mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab rumah tangga disebabkan kebanyakan wanita di Asia percaya itu adalah tugas mereka.

    Ahli Jawatankuasa Pemandu Kelab 30% yang juga rakan kongsi kelab Pauline Ho memahami budaya itu. Dalam tempoh beberapa tahun pertama selepas melahirkan anak kembar tiga pada 2006, Pauline berasakan dia perlu menjadi “ibu yang hebat” buat anak-anaknya sebagai menebus masa yang dihabiskan ketika bekerja.

    “Saya uruskan anak-anak pada sebelah malam selepas pulang dari kerja. Memang huru-hara dalam tempoh beberapa tahun itu. Rasanya amat jarang saya dapat tidur dengan sempurna pada waktu malam. Namun saya lakukan juga demi mengganti waktu siang yang saya habiskan di pejabat,” kongsinya kepada Bernama.

    Dia bagaimanapun mengaku beruntung kerana mempunyai suami yang sedia menghulurkan bantuan selain mampu menggaji pembantu tambahan. Dia tidak perlu mengorbankan kerjayanya dan kini giat membimbing wanita dalam tugas kepimpinan.

    Tambahnya, pembahagian tugas yang lebih sama rata amat penting dalam membantu wanita kembali bekerja.

    “Suami juga harus terlibat dalam semua situasi di rumah. Jujurnya memang tidak boleh bergantung pada seorang sahaja. Anak lahir hasil hubungan dua orang, bukan? Justeru, kedua-duanya harus mainkan peranan dalam membesarkan anak,” tegasnya.

    Penyelidik KRI Christopher Choong bersetuju dengan pandangan itu, dan menambah begitu banyak tumpuan diberikan kepada usaha mengembalikan wanita ke pasaran buruh, namun aspek kerja tidak bergaji kaum ibu seperti menguruskan rumah tangga termasuk menjaga anak, tidak benar-benar ditangani.

    “Awda sebahagian daripada pasaran tenaga kerja dan membawa pulang pendapatan, namun selepas waktu pejabat awda harus menangani kerja-kerja penjagaan, atau apa yang kita panggil sebagai syif kedua,” katanya.

    “Itulah sebabnya peranan kaum lelaki dalam keluarga harus dijadikan sebahagian daripada strategi agar ada kesetaraan gender dalam soal ini,” tambahnya.

    Menambah baik sektor penjagaan
    Sekalipun kerajaan menggalakkan pembukaan lebih banyak pusat asuhan anak, – bermula dengan pejabat kerajaan dan diikuti sektor swasta – pakar berpandangan langkah itu tidak mencukupi. Kata mereka lebih banyak pelaburan diperlukan dalam kerja-kerja penjagaan berasaskan komuniti dan keluarga.

    Antaranya memperakui pengasuh tidak berdaftar serta menjadikan sektor penjagaan sebagai bidang profesional yang diharap dapat menyelesaikan semua isu berbangkit.

    Ini bermakna pelaburan yang menyeluruh, iaitu mewujudkan kumpulan pekerja dan fasiliti, memperkemas proses kelulusan dan menyediakan pembiayaan. Pengusaha pusat penjagaan memberitahu Bernama bahawa mereka kekurangan pekerja berkelayakan dan terlatih, sementara kadar pusing ganti (jumlah pekerja yang masuk dan berhenti) juga tinggi disebabkan bidang itu melibatkan kerja yang agak berat dengan upah minimum. Selain itu, jumlah fasiliti, sama ada di institusi, komuniti ataupun di rumah, juga tidak mencukupi.

    “Kita terlalu bergantung pada import (pekerja domestik) dari (negara tetangga), dan tidak melabur untuk membangunkan kemudahan penjagaan kita sendiri,” kata Prof Madya Prof Dr Shanthi Thambiah daripada Program Pengajian Gender di Universiti Malaya.

    Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pada masa ini terdapat 2,983 pusat jagaan harian berdaftar di Malaysia termasuk 247 di pejabat dan 380 di rumah. Memandangkan jumlah anak jagaan tidak boleh melebihi kapasiti sesebuah pusat asuhan, jumlah pusat penjagaan sedia ada tidak dapat menampung keperluan negara yang mempunyai kira-kira 2.6 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

    Antara punca kekurangan pusat berdaftar ialah syarat pelesenan, khususnya bagi pusat asuhan berpangkalan di rumah. Di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Akta Pusat Jagaan 1993, pengusaha perlu mematuhi pelbagai syarat, bergantung pada jenis pusat, termasuk latihan, keselamatan premis dari segi kebakaran dan ancaman kesihatan, sebelum diberikan lesen.

    Pengusaha menyifatkan syarat yang tidak realistik serta proses kelulusan yang sukar sebagai penyebab. Presiden Kelab Rekreasi Pengasuh Malaysia Siti Azha Yusoff berpandangan JKM perlu mewujudkan satu pusat pelesenan sehenti. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...