Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Pembuatan buku kerangka, Brunei Darussalam Financial Literacy Competency Framework for School Children and Adults, merupakan salah satu usaha bagi mendukung hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang teratur dan bersistematik dalam mengurus keperluan kewangan semasa khususnya di kalangan masyarakat pelbagai peringkat.
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin selaku ketua peneraju Pillar 1 Majlis Kebangsaan Celik Kewangan dalam kata alu-aluannya pada majlis pelancaran buku kerangka berkenaan yang berlangsung di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran buku kerangka berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan Celik Kewangan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, ahli-ahli Majlis Kebangsaan Celik Kewangan, setiausaha tetap pengajian tinggi, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.
Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati dalam kata alu-aluannya menyatakan lagi, sejak tertubuhnya Majlis Kebangsaan Celik Kewangan pada November 2017, Kementerian Pendidikan telah diamanahkan untuk menerajui Pillar 1 iaitu Pendidikan Kewangan yang dipengerusikan bersama oleh setiausaha tetap (pendidikan teras) di Kementerian Pendidikan dan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Jawatankuasa Pillar 1, ulasnya, telah berjaya menerbitkan buku kerangka yang dikenali sebagai Brunei Darussalam Literacy Competency Framework For Primary Level, khusus bagi para pelajar di peringkat rendah Tahun 1 hingga 6.
Beliau menerangkan bahawa buku kerangka itu diterbitkan sebagai sumber rujukan dalam menambah baik kurikulum sekolah dengan memasukkan konsep celik kewangan yang bersesuaian dengan peringkat umur murid.
“Di samping itu, penganjur-penganjur inisiatif celik kewangan boleh merujuk kerangka ini bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan adalah selaras dan bersesuaian dengan kumpulan sasaran,” ujarnya. Beliau juga menerangkan bahawa pelaksanaan kerangka celik kewangan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan peringkat rendah iaitu Tahun 1 hingga 6 pada 2021 dengan buku kerangka dan buku panduan guru bagi peringkat menengah yang dijangka akan diterbitkan pada 2022.
Sementara itu, buku kerangka bagi peringkat dewasa juga akan disediakan bagi rujukan pelajar-pelajar di peringkat pengajian tinggi dan masyarakat secara umum. Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati berkata lagi dengan adanya kerangka pendidikan kewangan yang diintegrasikan dalam kurikulum sekolah itu, diharap akan dapat mengenalkan dan mendidik setiap individu dari peringkat awal lagi mengenai nilai kewangan serta pengenalan mengenai pengurusan kewangan demi memastikan kesejahteraan kewangan diri masing-masing.
Selain itu, ia juga diharap akan meningkatkan keyakinan pengguna dan menjadikan mereka lebih bijak dalam hal pengurusan dan membuat keputusan kewangan. Beliau turut berharap supaya semua guru akan menggunakan buku kerangka berkenaan sebagai bahan rujukan dan panduan bagi menyalurkan ilmu pendidikan kewangan kepada para pelajar dengan sebaiknya.
“Saya juga menyeru agar guru-guru untuk menggunakan kreativiti masing-masing, bersikap inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran selain sentiasa menggunakan sumber-sumber bahan yang interaktif dan relevan agar para pelajar akan mudah memahami demi menarik perhatian mereka mengenai kepentingan Pendidikan Kewangan ini,” seru beliau. Majlis diteruskan dengan pelancaran buku kerangka yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah yang kemudian menyampaikan buku kerangka berkenaan kepada ahli-ahli jawatankuasa kerja pembinaan buku kerangka berkenaan.