Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Seramai 180 orang peserta terdiri daripada konsultan pergigian, pakar pergigian, pegawai pergigian, jururawat pergigian, juruhigin dan juruterapi pergigian dari Kementerian Kesihatan menghadiri Simposium Pergigian Pediatrik kali ke-3 yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.
Simposium yang bertemakan The Interdisciplinary Dental Care of Pediatric Patient itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail. Konsultan Pergigian Pediatrik, Dr Hajah Dayang Wardati Sahimin binti Haji Yakob dalam ucapan alu-aluannya berkata, simposium hasil kerjasama Unit Pergigian Pediatrik, Unit Ortodontik dan Unit Pembedahan Oral itu diharap dapat mengeratkan lagi hubungan sesama pegawai dan kakitangan di dalam dan unit berlainan serta mening-katkan lagi semangat kerja berpasukan.
Tujuan utama simposium adalah memberi peluang kepada peserta untuk mengemas kini dan meningkatkan pengetahuan pergigian bagi pembangunan profesional berterusan terutama mengenai penjagaan atau rawatan bagi pesakit kanak-kanak yang memerlukan pelbagai bidang kepakaran pergigian, jelasnya yang juga selaku pengerusi simposium.
Simposium mengundang tiga penceramah iaitu Dr Hajah Dayang Wardati yang menyampaikan taklimat bertajuk Normal and Abnormal Dental Development; Dr Wizziyiane binti Haji Ahmad Ariffin dengan tajuk Guidelines on Management of Impacted Incisors and Canines dan Dr Hajah Mawardi binti Haji Emran dengan Presentation of Clinical Cases.
