Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) mengumpulkan para peserta daripada latar belakang yang berbeza setiap tahun dalam memberikan kesempatan kepada mereka menyembahkan junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dalam suasana yang lebih mesra dan meriah.
Mereka ini terdiri daripada kumpulan masyarakat yang dikenal pasti dapat memberikan kepentingan dalam menjana kesejahteraan, kebajikan dan kepentingan kepada agama, bangsa dan negara.
Untuk majlis tahun ini, dengan limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan dengan bertemakan ‘Memperkasa Kecerdasan Belia Mampan’, Yayasan memfokuskan golongan belia sebagai peserta.
Golongan belia yang ditampilkan terdiri daripada warga belia negara yang telah memberikan sumbangan secara langsung mahu pun tidak langsung dalam program keagamaan, kemasyarakatan, keusahawanan dan seni kreatif.
Manakala sebahagian lagi terdiri daripada para belia dan pelajar yang berpotensi untuk memberikan sumbangan terhadap pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Mereka diharapkan akan memberikan inspirasi kepada semua golongan belia untuk mempersiapkan diri membentuk paradigma masyarakat yang pintar dan inovatif. Tema sambutan adalah selaras dengan salah satu objektif utama yang terkandung dalam akta penubuhan Yayasan iaitu mempertingkatkan penglibatan belia dalam pembangunan masyarakat.
Tema ini menitikberatkan keperluan para belia masa kini untuk memperkasa kecerdasan agar sentiasa siap siaga memikul tanggungjawab dan menempuhi cabaran negara dan global secara positif, berdaya tahan dan berdaya maju.
Aspek kecerdasan bukan hanya tertumpu kepada ilmu pengetahuan, kemahiran dan inovasi, malah kecerdasan dari aspek kerohanian, intelektual dan emosi juga perlu ditanamkan dalam setiap individu belia agar mereka menjadi warga belia negara yang mempunyai semangat jati diri, ketahanan fizikal dan mental, berjiwa patriotik, berdisiplin serta mempunyai nilai-nilai murni dan akhlak mulia sebagai anak Brunei yang mendukung konsep Melayu Islam Beraja.
Dalam temu bual bersama pensyarah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan kaunselor di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor berkata bahawa belia merupakan aset negara yang perlu dijaga.
Beliau antara lain menyentuh mengenai Program Intervensi Pendidikan di mana mereka mempunyai kepercayaan untuk keluar daripada kemiskinan adalah dengan memberi pendidikan kepada anak-anak iaitu para belia, dan jika mereka berpendidikan, mereka akan berdikari dan seterusnya dan memajukan negara dari pelbagai aspek.
Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, di Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Amirul Syazmi Ibrahim pula berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sudah ramai belia memainkan peranan dan sama-sama menyumbangkan dalam pembangunan negara.
Seperti contoh, para sukarelawan yang banyak menyumbangkan dalam sama-sama membendung dan menangani wabak penyakit COVID-19.
“Peranan mereka ini dalam membantu kerajaan dari segi tenaga dan waktu di beberapa lokasi di seluruh negara adalah amat dihargai,” ujarnya.
Selain daripada itu, tambah beliau, belia juga menyumbang dalam sektor ekonomi yang mana para usahawan kebanyakannya terdiri daripada belia.
Mengenai dengan teknologi pula, menurutnya, memang terdapat ramai belia juga telah berkecimpung dalam sektor berkenaan, antaranya sektor teknologi pertanian di mana ada sudah membuat kajian mengenai pembangunan kecerdasan buatan. Sementara itu, Awang Mohammad Hajid bin Mirhasan, wakil ketua Belia Masjid Perpindahan Kampung Mata-Mata Gadong, ketika ditemui Media Permata pula menyentuh mengenai peranan belia masjid dalam mengembangkan syiar Islam dan mengimarahkan masjid di negara ini.
Menurutnya, belia masjid juga bergiat aktif dalam menghadiri dan membuat majlis ilmu seperti ceramah dan tazkirah, mempelajari kitab-kitab di masjid-masjid yang mana ia dapat membantu mereka dari segi pendidikan agama Islam.
Para belia masjid juga aktif menyertai aktiviti-aktiviti bagi mengisi masa lapang dan belajar dari sudut kepimpinan dan kerohanian yang berguna untuk masa depan mereka.