Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad hari ini telah memberikan ulasan mengenai isu ke arah memperkasa dan melibatkan golongan belia dalam membentuk masa depan ekonomi Brunei yang telah dibahaskan oleh Yang Berhormat Chong Chin Yee, baru-baru ini.
Yang Berhormat Dato di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 2025, yang telah memasuki hari keenam yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis telah menggariskan pendekatan kementerian dalam meneruskan usaha meningkatkan program menjana belia harapan dan berwawasan yang berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB).
Pengupayaan belia terus menjadi keutamaan melalui pelbagai inisiatif latihan kemahiran, kepimpinan, jati diri dan inkubator keusahawanan.
Di samping itu, pemberian mikro geran juga diberikan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam mendapatkan pekerjaan yang bermakna selain memulakan perniagaan.
Katanya lagi, “Keberkesanan program ini dapat dilihat melalui kadar kebolehpasaran pelatih Pusat Pembangunan Belia (PPB) yang mencapai 78 peratus, dengan 61 peratus berjaya mendapat pekerjaan, lima peratus menceburi bidang keusahawanan dan 12 peratus meneruskan pengajian.”
Sementara itu, pada tahun ini, seramai 15 orang alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) telah diberikan kelayakan sebagai jurulatih bagi siri pertama, menandakan kejayaan program dalam melahirkan tenaga muda yang berdaya saing dan bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat.
Pemerkasaan belia juga terus diberi keutamaan, jelasnya, dengan menyediakan peluang dan platform bagi mereka untuk terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan, merangka dasar dan menyusun strategi pembangunan belia.
Dalam hal ini, mekanisme seperti Instagram Hab Belia, Dialog dan Forum Belia, Kongres Belia Kebangsaan serta Youth Town Hall (YTH) memainkan peranan penting dalam pembentukan Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) 2020-2035, yang menjadi asas kepada pelan tindakan serta hala tuju pembangunan belia secara menyeluruh. Bagi memastikan Pelan Tindakan DBNS kekal relevan dengan perkembangan semasa, jelasnya, para belia turut dilibatkan dalam proses kajian semula dan pemantauan pelaksanaannya.
Ia sekali gus memastikan dasar dan inisiatif yang digariskan benar-benar memenuhi keperluan serta aspirasi mereka.
Yang Berhormat Dato turut mengongsikan mengenai Kongres Belia Kebangsaan, yang mana ianya dirancang untuk dilaksanakan pada penghujung tahun 2025 bagi menilai pelaksanaan resolusi Kongres Belia Kebangsaan 2019 dan menyediakan resolusi baharu bagi membantu pembentukan perancangan Pelan Tindakan DBNS 2026-2030.
Mengenai YTH, ia juga merupakan salah satu inisiatif yang berjaya dilaksanakan oleh Youth Professional Network (YPN), yang terus menjadi platform penting bagi belia menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembangunan.