Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 1 OKT – Bagi menyahut seruan ke arah mempelbagaikan hasil dan meningkatkan sosioekonomi negara, Majlis Perundingan Mukim (MPM) Pekan Tutong telah mengambil langkah proaktif menerusi penganjuran Mukim Ku Ceria Pekan Tutong di kawasan Jeti Sungai Pekan Tutong selama dua hari hingga hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan acara yang diungkayahkan dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai; Penghulu Mukim Pekan Tutong, Haji Salim bin Haji Othman selaku pengerusi majlis, ketua-ketua kampung, pemangku ketua kampung di bawah Mukim Pekan Tutong, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Tutong serta penduduk kampung sekitarnya.
Acara perasmian didahului dengan sesi senamrobik sebelum berjalan santai sepanjang sejauh 1.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai.
Seterusnya, tetamu kehormat menyaksikan Pameran Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Bilik Hitam Bangunan Mahkamah Lama Daerah Tutong yang dikendalikan oleh MPK Penanjong.
Pertunjukan seni mempertahankan diri dan pertandingan skipping yang dikendalikan oleh MPK Panchor turut menjadi tarikan dan diteruskan dengan lawatan ke Bazar Mukim Ku Ceria yang dikendalikan MPK Petani.
Turut jadi tumpuan adalah Cabaran Permainan Keluarga yang dikendalikan oleh MPK Penabai dan Kuala Tutong.
Acara berkenaan diadakan sebagai landasan untuk menyatukan orang-orang kampung dari berbagai latar belakang, usia dan minat. Ia menggalakkan semangat bermasyarakat dan memberi ruang kepada penduduk untuk berinteraksi, bersosialisasi dan menjalin persahabatan sehingga dapat membentuk rasa kekitaan, sekali gus diharap untuk menjadikan MPK lebih mapan di dalam mukim.