Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan usaha dalam sektor pelancongan Islam

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Peningkatan jumlah belanjawan Tahun Kewangan 2024/2025 akan memberikan pelbagai faedah kepada rakyat dan negara, dengan belanjawan yang diperuntukkan akan digunakan dengan bijak untuk kesejahteraan masyarakat dan memajukan negara ke arah yang lebih baik.

    Selain bersetuju dan menyokong peruntukan belanjawan tersebut, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin pada hari ketiga Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini, turut mencadangkan beberapa perkara ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

    Jelasnya, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan sektor pelancongan dan ini termasuk dalam bidang promosi dan pembangunan infrastruktur lapangan terbang yang moden dan cekap.

    Beliau turut menggalakkan pelancongan Islam dengan lebih aktif, agar dapat mempromosikan infrastruktur pelancongan Islam seperti masjid dan balai khazanah yang menggambarkan konsep Melayu Islam Beraja.

    Dalam pada itu, beliau turut melahirkan perasaan gembira mendengar beberapa program dan inisiatif di bawah Manpower Planning and Employment Council (MPEC) bersama pihak-pihak berkaitan akan dapat mewujudkan tenaga kerja tempatan yang employable dan marketable.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty mencadangkan beberapa perkara ke arah kemajuan dan pembangunan negara. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Walaupun memahami pihak kerajaan telah giat berusaha ke arah inisiatif pelan transformasi pendigitalan, beliau masih mengharapkan pelan ini diberikan penilaian seimbang terhadap semua pihak dalam jabatan serta orang awam.

    Beliau turut mengambil maklum mana terdapat belanjawan yang cukup besar untuk inisiatif sektor kesihatan, termasuk peningkatan kualiti perkhidmatan dan penyediaan di JPMC dan PJSC, yang mana ini pasti akan meningkatkan potensi pelancongan perubatan yang dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

    Yang Berhormat Hajah Rosmawatty turut mencadangkan memperluaskan senarai produk tempatan dengan harga berpatutan untuk rakyat jelata dan ini juga memerlukan perubahan mindset di semua peringkat masyarakat di negara ini.

    Dengan kos belanjawan 2024/2025 yang semakin meningkat dan adanya cabaran dalam perlaksanaan projek di bawah belanjaan tersebut, beliau turut mencadangkan bagi setiap projek mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang merangkumi peluang pekerjaan bagi rakyat Brunei.

    Selain itu, beliau berharap semua projek di bawah belanjawan 2024/2025 dapat berjalan dengan lancar, dengan kerjasama penuh daripada pihak kerajaan, agensi yang berkaitan dengan memastikan perlaksanaan projek berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda