Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan usaha pelbagaikan ekonomi negara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Laporan ASEAN Plus Three Marcoeconomic Research Office (AMRO) telah meramalkan bahawa ekonomi Negara Brunei Darussalam akan mengukuh kepada 2.4 peratus pada 2024, yang diterajui oleh sektor bukan minyak dan gas, melalui aktiviti perekonomian dalam subsektor pertanian, makanan, kewangan, pengangkutan dan pelancongan serta perluasan aktiviti dalam sektor penapisan minyak dan gas hiliran.

    “Beta juga telah difahamkan bahawa beberapa usaha mempelbagaikan ekonomi telah pun dilaksanakan namun masih saja belum mencukupi untuk mengimbangi kedudukan defisit fiskal kerajaan.

    “Tetapi apa pun keadaan, pada hakikatnya kita tidak dapat lagi terlalu bergantung kepada sektor minyak dan gas semata-mata kerana terdapat beberapa faktor di luar kawalan kita seperti penurunan pengeluaran minyak dan gas dan harga pasaran global minyak dan gas yang tidak menentu.”

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah mengenai perkara itu semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi 2024 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Baginda seterusnya bertitah menekankan bahawa usaha-usaha perlulah diteruskan dan dipertingkatkan lagi ke arah mempelbagaikan ekonomi serta memberikan tumpuan kepada industri-industri strategik di mana negara mempunyai potensi dan kekuatan untuk lebih berjaya.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-20 MMN bagi 2024 di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Keberangkatan tiba Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah ke Dewan Persidangan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Pada masa yang sama, isu-isu semasa seperti isu alam sekitar, perubahan iklim dan sebagainya juga perlu diberikan perhatian.

    “Namun apa pun berlaku, hala tuju pengeluaran minyak dan gas mesti diaktifkan dan industri hiliran minyak dan gas dikembangkan serta bekalan tenaga elektrik dan bahan api terus diutamakan,” titah Baginda lagi.

    Dari segi perbelanjaan kerajaan pula, Baginda Sultan bertitah, ia dilihat semakin meningkat tahun demi tahun. Namun demikian, kerajaan Baginda masih mampu untuk menyediakan sejumlah belanjawan bagi ke-perluan pembangunan.

    “Apa yang penting di sini ialah setiap agensi kerajaan Beta hendaklah menggunakan peruntukan yang disediakan dengan lebih berhemah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi penduduk dan rakyat di negara ini.

    “Dari segi pembangunan negara pula, Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-12 akan bermula pada Tahun Kewangan 2024/2025 ini bagi tempoh lima tahun. Dalam masa yang sama, RKN mempunyai peranan penting ke arah mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035.”

    Baginda Sultan melahirkan harapan supaya projek-projek pembangunan RKN berkenaan akan dapat dipercepatkan mengikut garis masa yang sudah ditentukan.

    “Adalah juga menjadi harapan kita supaya blueprint yang berkaitan dengan perekonomian akan mendorong kepada pertumbuhan sektor yang disasarkan dan dapat menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing yang berpotensi untuk menjana peluang-peluang pekerjaan baharu,” titah Baginda.

    Terdahulu, Baginda Sultan bertitah menyatakan bahawa MMN merupakan medan untuk melahirkan pendapat dan buah fikiran yang membina oleh para ahli.

    “Ia dihasratkan kekal relevan untuk membincangkan perkara-perkara strategik yang bermanfaat bagi rakyat dan negara.

    “Beta berharap ahli-ahli yang berhormat akan sentiasa peka untuk mengikuti perkembangan yang berlaku bukan sahaja di dalam negara malah juga di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

    “Ini semua boleh memberikan kepada ahli-ahli yang berhormat perspektif berbeza serta idea-idea baharu yang boleh menyuntik kemajuan dalam bidang-bidang utama yang diperlukan.

    “Secara khusus, Beta juga mahu ahli-ahli yang berhormat yang dilantik akan sentiasa turun padang untuk bermuzakarah dengan pihak-pihak berkepentingan dari sektor kerajaan, swasta, persatuan-persatuan dan lebih-lebih lagi para penduduk yang diwakili masing-masing.

    “Beta percaya perundingan timbal-balik ini akan memastikan inclusiveness kesemua
    pihak dan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat serta membantu reka dasar kerajaan Beta,” titah Baginda.

    Ke arah itu, Baginda Sultan menyarankan supaya pihak-pihak berkenaan dalam kerajaan untuk terus memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan ahli-ahli yang berhormat khasnya menerusi penglibatan dalam mana-mana keahlian jawatankuasa ataupun task force yang diamanahkan.

    “Ahli-ahli yang berhormat yang dilantik juga disarankan untuk membuat inisiatif-inisiatif masing-masing ke arah membantu kerajaan Beta dalam menjana peluang-peluang pekerjaan, mempertingkatkan sektor-sektor perekonomian dan pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia termasuk dalam kalangan pengusaha-pengusaha tempatan dan golongan-golongan tertentu yang lain.”

    Pada mengakhiri titah berkenaan, Baginda Sultan menyarankan supaya persidangan itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai objektif pembangunan dan kemajuan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda