Thursday, February 20, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan waspada, cegah kebakaran

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 12 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menerima 1,210 panggilan kecemasan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 panggilan merupakan panggilan kebakaran membabitkan 19 panggilan kebakaran rumah dam 13 panggilan kebakaran bangunan dengan anggaran kerugian kira-kira $1.51 juta.

    Bagi tahun lalu pula, jabatan berkenaan menerima sebanyak 5,488 kes panggilan kecemasan termasuk 130 panggilan kebakaran, melibatkan 83 panggilan kebakaran rumah dan 47 panggilan kebakaran bangunan dengan anggaran kerugian berjumlah $7.65 juta.

    Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini mengongsikan statistik tersebut bagi mengingatkan akan kerugian yang sangat besar dan di samping risiko kehilangan nyawa dan harta benda akibat kejadian kebakaran serta menasihati orang ramai agar meningkatkan sifat berhati-hati dan berwaspada pada setiap masa dengan memikirkan dan mementingkan keselamatan serta pencegahan kebakaran dalam kehidupan seharian, sama ada di dalam rumah dan di tempat kerja.

    Khutbah Jumaat hari ini membincangkan mengenai pentingnya keselamatan dan pencegahan kebakaran dalam kehidupan seharian.

    Menurut khatib, antara punca utama terjadinya kebakaran itu ialah kecuaian dan kurang pengetahuan penggunaan dalam menggunakan peralatan elektronik yang menyebabkan kepanasan berlebihan, lebih beban, litar pintas dan penyambungan yang longgar.

    Selain itu, kebakaran juga berpunca daripada masakan yang ditinggalkan, kanak-kanak bermain api, meninggalkan lilin tanpa pengawasan, membuang puntung rokok yang masih menyala, gas bocor dan sebagainya.

    Khatib juga menyarankan orang ramai untuk mengambil berat dalam menggelakkan kejadian kebakaran dengan mengambil langkah-langkah keselamatan terhadap punca dan penyebab kebakaran.

    “Dalam aspek kebakaran, orang ramai harus peka terhadap bahaya kebakaran pada setiap masa dengan mempersiapkan diri dengan sedikit ilmu pengetahuan kebombaan seperti mempunyai alat pemadam api persendirian, ilmu pencegahan dan mengawal kebakaran dan cara menyelamatkan diri sebelum tiba bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.”

    Sebelum mengakhiri khutbah, khatib juga mengingati agar kita sentiasa nasihat menasihati dan memberi peringatan kepada mereka di luar sana mengenai menjaga hal ehwal keselamatan dan pencegahan daripada berlakunya kebakaran, lebih-lebih lagi dalam menyambut kedatangan bulan Ramadhan dan Syawal.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda