Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tingkatkan waspada semasa Aidilfitri

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Orang ramai adalah dinasihatkan untuk meningkatkan kewaspadaan dan langkah berhati-hati terutamanya dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri.

    Apabila ingin melakukan urusan untuk mengeluarkan wang sama ada melalui kaunter bank mahupun dari mesin ATM, disarankan untuk tidak bersendirian terutama bagi warga emas.

    Saranan tersebut antara yang disampaikan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi persiapan umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri di dalam suasana norma baharu di samping negara masih mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dalam pengawalan dan menangani impak COVID.

    Pihak PPDB juga menasihatkan orang ramai jika hendak meninggalkan rumah, pagar, pintu dan jendela rumah hendaklah sentiasa dipastikan tertutup rapi dan berkunci, jangan membiarkan perkakas seperti tukul, pemutar skru, tangga dan seumpamanya berada di luar kawasan rumah kerana ia boleh digunakan oleh penjenayah melakukan pecah rumah atau pecah kereta.

    Sementara itu, kawasan luar rumah hendaklah sentiasa diterangi dengan cahaya lampu yang mencukupi, jangan membiarkan kawasan atau halaman rumah ditumbuhi dengan rumput atau semak samun bagi mengelak daripada menjadi tumpuan penjenayah untuk
    bersembunyi.

    Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah atau dalam kenderaan yang boleh menjadi daya tarikan penjenayah.

    Segala wang ringgit, barang-barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat yang tidak mudah diketahui; hendaklah mening-galkan pesan kepada jiran tetangga untuk melihat dan memerhati kawasan rumah semasa ketiadaan di rumah dalam tempoh masa yang lama dan digesa untuk memasang alat-alat keselamatan seperti CCTV atau alat penggera.

    Orang ramai khususnya kepada pemandu dan pengguna jalan raya, supaya akan dapat meningkatkan lagi kewaspadaan semasa memandu dan menggunakan jalan raya.

    PPDB juga menasihatkan untuk sama-sama menanamkan sikap disiplin atau pemanduan yang berhemah dengan sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya dan mengikut arahan papan-papan tanda keselamatan di tepi jalan.

    Jangan memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan dalam keadaan yang dipengaruhi dengan bahan ubat-ubatan atau pengaruh alkohol atau sebagainya.

    Selain itu, jangan sesekali menggunakan telefon bimbit semasa memandu sama ada membuat panggilan atau membuat pesanan ringkas, sentiasa menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu.

    Turut dinasihatkan untuk tidak memandu jika dalam keadaan mengantuk dan hendaklah melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan bagi memastikan kenderaan selamat untuk dipandu dan Jangan jadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan dan yang lebih penting adalah sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa kepada pengguna jalan raya yang lain.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...