Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 26 April – Bagi memberikan pendedahan mengenai cara mempromosi produk-produk kampung, seramai 30 orang peserta Bengkel Pemasaran Secara Digital yang terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) bagi Daerah Tutong telah membuat lawatan sambil belajar ke beberapa buah MPK di daerah ini, pagi tadi.
Lawatan dimulakan di Galeri 1K1P Jabatan Daerah Tutong bagi memperkenalkan lagi produk-produk kampung yang terdapat di Daerah Tutong sebelum dibawa melawat ke perusahaan Keropok Udang 1K1P MPK Penabai, Kuala Tutong.
Bagi menyaksikan lebih dekat produk-produk MPK yang lebih maju dan berdaya saing, rombongan seterusnya melawat perusahaan pembuatan bot kaca gentian iaitu Perusahaan Seri Melati di Kampung Penabai, Kuala Tutong dan seterusnya berkesempatan menyusur Sungai Tutong.
Lawatan sambil belajar itu merupakan kesinambungan Bengkel Pemasaran Secara Digital yang dikelolakan di bawah Program Celik ICT atau ICT Savviness Program AITI selama dua hari baru-baru ini dan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Daerah Tutong bagi membantu para peserta bengkel untuk memberikan pengalaman dan berkongsi idea dalam memajukan sesuatu produk kampung.
Objektif program lawatan tersebut adalah untuk menambahkan pengetahuan dan melihat secara dekat lagi aktiviti-aktiviti perekonomian yang dijalankan serta beramah mesra dengan MPK di Daerah Tutong.
Dengan adanya lawatan berkenaan, semua peserta diharap akan mendapat pengetahuan dan manfaat dalam perkongsian maklumat yang boleh memberikan tambah nilai produk atau menghasilkan produk kampong masing-masing yang menjurus kepada perusahaan satu kampung satu produk (1K1P) yang lebih berdaya saing dan bertahan.
