Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Sempena ulang tahunnya yang ke-38, Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam (BLA) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan seminar mengenai Brunei Digital Libraries: Where Are We Now? di Ruang Bicara Minda, Perpustakaan UBD, hari ini
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan seminar berlangsung sehari berkenaan ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik), UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Seminar bermatlamat untuk meninjau semula inisiatif perpustakaan digital pasca COVID-19 yang telah mempercepatkan akses digital dan jarak jauh bagi keperluan perpustakaan, pembelajaran, penyelidikan dan pengajaran.
Menerusi seminar berkenaan, tujuh orang pembentang dari universiti tempatan, agensi kerajaan dan persendirian telah berkongsi antaranya perjalanan dan inisiatif berkaitan perpustakaan digital termasuklah Wawasan Brunei 2035 dan pengalaman mencipta kandungan karya kreatif visual menggunakan teknologi media.
Seramai 89 orang pustakawan dari pelbagai universiti, sekolah, jabatan-jabatan kerajaan dan golongan pelajar sains maklumat perpustakaan dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal serta warga pendidik telah menyertai seminar tersebut.
Seminar telah diakhiri dengan sesi resolusi bagi keperluan piawaian dan garis panduan mengenai infrastruktur, tenaga kerja, teknologi, pemerkasaan kewangan untuk menyokong pengembangan maklumat digital pada masa hadapan.




