Oleh Daniel Lim
BELAIT, 16 SEPT – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (DDMC) Belait, hari ini, telah membuat tinjauan ke kawasan-kawasan yang terjejas banjir khususnya di Mukim Sukang dalam pada masa yang sama menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas.
Lawatan diketuai oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin selaku pengerusi DDMC Belait.
Turut hadir menyertai lawatan tersebut ialah pemangku penghulu Mukim Sukang, pegawai-pegawai dan kakitangan dari Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Daerah Belait, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Belait, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Cawangan Operasi B, Kuala Belait dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Kawasan-kawasan yang dilawati termasuk Rumah Panjang Punan, Kampung Dungun dan Kampung Kuala Rawai.
Dalam lawatan tersebut, pegawai Daerah Belait berserta rombongan telah mengadakan perjumpaan dengan mangsa-mangsa banjir yang terjejas dan mengagihkan bantuan catuan makanan kepada mereka yang berkenaan.
Sebanyak 13 buah rumah menerima bantuan catuan makanan iaitu sembilan pintu di Rumah Panjang Punan, dua buah rumah di Kampung Dungun dan dua buah rumah di Kampung Kuala Rawai.
Menurut kenyataan yang diberikan, beberapa kawasan di Mukim Sukang telah ditenggelami air yang termasuklah Klinik Sukang, Pos Polis Kampung Sukang, Rumah Persinggahan Kampung Sukang, Balai Ibadat Kampung Sukang, kawasan Sekolah Rendah Datu Maharaja Setia Dian, Kampung Dungun dan Kampung Kuala Rawai yang terjejas oleh banjir sejak 8 September lalu dengan kedalaman setinggi 1.8 meter.
Awang Ramlee ketika ditemui selepas lawatan berkenaan, menekankan kepentingan untuk menyokong penduduk di kawasan-kawasan yang terjejas terutamanya mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman seperti Mukim Sukang, pada masa yang sama meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dilalui penduduk di sana dan bagaimana bantuan yang disampaikan dapat membantu memberikan kesan positif dalam mengurangkan beban mereka dalam masa-masa sukar ini.
Oleh itu, ujarnya lagi, beliau akan terus memerhatikan situasi bukan sahaja di Mukim Sukang malah seluruh kawasan pedalaman Daerah Belait untuk memantau situasi semasa dan merangka pelan-pelan untuk menyediakan bantuan jika diperlukan.

