Tinjau kebajikan warga asing

Dengan negara masih lagi dilanda COVID-19, restoran-restoran, gerai-gerai makan dan premis-premis yang berkaitan makanan dan minuman banyak yang hanya beroperasi melalui penghantaran atau bawa pulang sahaja, sekali gus mungkin mengurangkan pendapatan industri ini.

Meskipun nasib anak tempatan terbela dengan jaminan daripada kementerian relevan untuk memastikan mereka tidak dipecat dan ada bantuan serba sedikit untuk mereka menjalani kehidupan seharian, namun bagaimana pula dengan nasib warga asing?

Adakah kebajikan mereka diambil perhatian? Mereka juga manusia yang punya hak asasi. Ada sebahagian mereka ini yang bekerja di restoran mengadu bahawa gaji mereka dikurangkan dan hanya mendapat separuh daripada gaji kerana keadaan semasa yang sukar, mungkin mereka perlukan bantuan.

NGO, kerajaan atau pihak yang sering memberi bantuan perlu meninjau dan bertanyakan keadaan mereka. Jika perlu dibantu, berilah bantuan makanan agar mereka dapat menjalani kehidupan seharian lebih baik. – Sekelumit kemanusiaan