Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinjau kemajuan Kursus Ibadat Haji

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Bagi memastikan Kursus Ibadat Haji bagi Musim Haji Tahun 1438H berjalan lancar, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud, hari ini, telah membuat tinjauan ke tiga buah tempat kursus tersebut diadakan.

    Pusat-pusat kursus berkenaan adalah di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Sekolah Ugama Lambak Kanan dan Sekolah Ugama Sungai Besar, Jalan Kota Batu. Turut hadir semasa tinjauan berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof dan Pemangku Pengarah Urusan Haji, KHEU, Haji Abdullah bin Haji Mohammad.

    Semasa tinjauan diadakan, Dato Paduka Haji Abdul Mokti telah berinteraksi dengan peserta-peserta kursus dan berkesempatan memberikan nasihat kepada peserta agar memanfaatkan sepenuhnya bimbingan ibadat haji yang diberikan oleh guru-guru dan penyelia kursus, yang terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman, sebagai bekalan dan panduan mereka bilamana berada di tanah suci nanti.  Beliau turut mengingatkan para peserta kursus yang merupakan bakal-bakal haji terpilih supaya menetapkan dan memberi tumpuan niat ke tanah suci itu adalah bagi mengerjakan ibadat haji semata-mata dan jangan mencampuradukkannya dengan niat lain, semoga dengan ini mereka beroleh haji yang mabrur.

    Pada tahun ini sebanyak sepuluh sesi kursus diadakan iaitu bermula 16 April hingga 21 Mei, iaitu setiap Ahad dan Jumaat.

    Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika membuat tinjauan tersebut.
    Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika membuat tinjauan tersebut.
    Ketika kursus berlangsung di Sekolah Ugama Lambak Kanan.
    Ketika kursus berlangsung di Sekolah Ugama Lambak Kanan.

    Sebanyak lapan buah pusat kursus disediakan di seluruh negara iaitu empat di Daerah Brunei dan Muara, dua di Daerah Belait dan sebuah masing-masing di Daerah Tutong dan Temburong. Kursus anjuran Jabatan Urusan Haji, KHEU melalui Bahagian Bimbingan Haji itu diadakan bagi memberikan bimbingan, kefahaman dan tunjuk ajar mengenai manasik Haji serta hukum-hakam mengenainya agar dapat membantu para bakal jemaah haji yang terpilih menunaikan ibadat fardu haji mereka dengan lebih teratur, sempurna dan seterusnya akan beroleh haji yang mabrur.

    Kursus kali ini memberikan ruang dan peluang bagi para peserta berinteraksi serta mengajukan sebarang kemusykilan atau persoalan agar segala kekeliruan bakal jemaah haji negara dapat ditunjuk ajar oleh guru-guru kursus dan para penyelia kursus.

    Ia juga memberikan penekanan terhadap bacaan-bacaan setiap bakal jemaah haji dan memastikan mereka betul-betul dapat membaca dengan baik, sama ada ketika mereka dalam kumpulan mahupun bersendirian.

    Bagi mereka yang dikenal pasti tidak mempunyai kemampuan atau tiada keupayaan untuk membaca doa-doa khusus tersebut akan diajarkan dan dibimbing dengan bacaan doa-doa ataupun zikir-zikir pendek.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda