Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Bagi melihat lebih dekat keupayaan dan pengendalian kapal Tsugaru milik Pengawal Pantai Jepun (JCG), Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei (PDB), Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali telah mengadakan lawatan muhibah ke kapal tersebut di Pelabuhan Muara, kelmarin.
Kapal Tsugaru mula bertolak dari Hakodate, Jepun pada 17 Jun dan tiba di Negara Brunei Darussalam pada 26 Jun lalu.
Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Pegawai Pemerintah Polis Marin, Penguasa Polis Haji Azree bin Haji Abdul Manaf@Munap, pegawai-pegawai dari Polis Marin dan pegawai-pegawai JCG.
Lawatan itu adalah sebagai sebahagian usaha menghidupkan kembali hubungan kerjasama yang pernah terjalin sebelumnya berakhir pada tahun 2005 dan ianya akan menjadi langkah pertama dalam sokongan berterusan untuk menjalin kerjasama yang lebih kukuh bersama PDB khususnya Polis Marin dalam kerja-kerja kepolisan, langkah-langkah anti-lanun di Asia Tenggara, Latihan Pencemaran Marin, perkongsian maklumat, peningkatan kapasiti dan kawasan-kawasan kepolisan lain yang boleh meningkatkan keupayaan kedua belah pihak disamping isu-isu kepentingan strategik.
Semasa lawatan tersebut, pesuruhjaya polis juga mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Pemerintah JCG, Suzuki Hirohisa atas sokongan berterusan yang diberikan selama ini dan hubungan dua hala yang mesra di antara PDB dan JCG, Jepun.
Lawatan kemudian diakhiri dengan pertukaran cenderahati daripada kedua-dua belah pihak dan kapal Tsugaru akan meneruskan pelayarannya ke Republik Filipina.
