Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Beberapa buah sekolah agama di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong hari ini menjadi tumpuan dalam siri lawatan kerja sempena permulaan sesi Persekolahan Ugama Penggal Pertama bagi tahun 2025.
Dalam siri lawatan kerja itu, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman petang tadi mengadakan sesi lawatan kerja ke Sekolah Ugama Batu Marang, Daerah Brunei dan Muara dan Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Daerah Temburong.
Hadir sama dalam rombongan berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Shamshol bin Haji Omar.
Pengisian lawatan kerja rombongan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dimulakan dengan lawatan ke bilik-bilik darjah, di mana beliau berpeluang berinteraksi dengan murid-murid dan guru-guru, sekali gus melihat pelaksanaan Program Kemasukan Murid Darjah IV Persekolahan Ugama ‘SIUK’ (Sekolahku Ilmuku, Ugamaku Keberkatanku) secara lebih dekat.
Lawatan berkenaan merupakan acara tahunan KHEU bagi meninjau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di persekolahan agama di samping menyaksikan lebih dekat prasarana dan kemudahan sekolah bagi memastikan penyediaan dan pencapaian pendidikan agama yang berkualiti tinggi dan berkesan.
Turut hadir semasa lawatan kerja tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dan para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, KHEU.
Sementara itu, Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim juga mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Ugama Sungai Besar, Daerah Brunei dan Muara dan Sekolah Ugama Bokok, Daerah Temburong.
Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Rombongan berkenaan memulakan lawatan ke bilik-bilik darjah dan berinteraksi bersama murid-murid dan guru-guru, seterusnya menyaksikan pelaksanaan Program Kemasukan Murid Darjah IV Persekolahan Ugama ‘SIUK’ secara lebih dekat.
Antara pengisian lawatan kerja termasuk sesi muzakarah bersama Guru Besar Sekolah Ugama Sungai Besar, Daerah Brunei dan Muara, Hajah Rusita binti Haji Ali dan juga Guru Besar Sekolah Ugama Bokok, Daerah Temburong, Hajah Siti Mariam binti Haji Ahmad.