Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinjau peluang pendidikan di AS

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Para pelajar bersama ibu bapa dan penjaga, hari ini, berpeluang mendapatkan maklumat lanjut mengenai pilihan melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat (AS) pada Pameran Pendidikan Tinggi AS ke-6 yang berlangsung di Dewan Songket, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

    Pameran anjuran Kedutaan AS di Brunei Darussalam dan EducationUSA itu telah dilancarkan oleh Charge d’Affaires Kedutaan AS di Brunei, Scott E Woodard bersama-sama Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan di Kementerian Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee selaku tetamu kehormat majlis.

    Scott E Woodard dalam ucapan alu-aluannya memuji para pelajar, ibu bapa, dan pegawai Brunei yang hadir pada pameran itu kerana meneroka pelbagai peluang yang terdapat di universiti-universiti dan kolej AS.

    Menurut beliau, lebih ramai pelajar antarabangsa memilih untuk belajar di AS berbanding dengan negara lain dan salah satu sebabnya, universiti-universiti Amerika mengepalai dunia dalam bidang inovasi.

    Pelajar Brunei, tambah beliau, boleh belajar menerapkan teknologi baharu dalam bidang mereka dengan pengalaman kerja dunia sebenar dalam Program Latihan Praktikal Pilihan.

    Scott Woodard menyampaikan cenderahati kepada tetamu kehormat majlis.

    Pameran pendidikan tinggi tersebut juga melibatkan wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan dan ahli-ahli alumni YSEALI, Persatuan Alumni Brunei-AS dan perwakilan daripada Kedutaan Amerika Syarikat.

    Pameran berkenaan disertai wakil dari 22 buah universiti dan kolej AS yang menawarkan pelbagai program pendidikan di peringkat sarjana muda dan sarjana.

    Institusi-institusi Amerika Syarikat yang diwakili termasuk Bucks County Community College, California State University, College of Lake County, Columbia College Chicago, Elmhurst College, Highline College, Indiana Institute of Technology, Jacksonville University, Lane Community College, Miami University, Michigan State University, Ohio Northern University, Ohio University, Orange Coast College, Paul Smith’s College, Snow College, Stony Brook University, Temple University, The University of Kansas, University of Missouri, University of Wisconsin River Falls, Utica College, dan Western Kentucky University.

    Kedutaan AS di Brunei Darussalam mengadakan acara berkenaan dengan kerjasama EducationUSA iaitu rangkaian ratusan pusat nasihat di seluruh dunia yang disokong oleh Jabatan Negeri Amerika Syarikat.

    Setiap tahun, para penasihat EducationUSA menyediakan berjuta-juta pelajar antarabangsa yang berpotensi, tanpa sebarang kos, dengan maklumat yang tepat dan komprehensif tentang cara memohon ke kolej-kolej dan universiti-universiti AS.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda