Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang diketuai oleh Penghulu Mukim Berakas Zon 1, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, hari ini, telah mengadakan lawatan kerja ke Tapak Perindustrian Serasa, Pulau Muara Besar (PMB), JobCentre Brunei (JCB) dan Darussalam Enterprise (DARe).
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha tahunan Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian untuk meningkatkan perkongsian maklumat mengenai pelbagai inisiatif di bawah kementerian berkenaan kepada ahli-ahli MMN bagi meningkatkan lagi kerjasama ke arah pembangunan negara.
Lawatan itu akan diikuti dengan sesi dialog yang dijadualkan esok bagi membincangkan mengenai visi serta perancangan kementerian itu.
Turut serta semasa lawatan kerja berkenaan ialah Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.
Juga hadir ialah Setiausaha Tetap (Tenaga), Haji Azhar bin Haji Yahya; Setiausaha Tetap (Tenaga Manusia), Haji Zolkiflee bin Haji Abdul Karim; Pemangku Setiausaha Tetap (Korporat dan Tenaga), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab; Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; Ketua Pegawai Eksekutif DARe, Javed Ahmad; pegawai-pegawai dan kakitangan dari Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, DARe, SHENA dan Damai Holdings Limited.




Semasa lawatan ke Tapak Perindustrian Serasa, rombongan ahli MMN mengadakan lawatan ke Syarikat Western Foods and Packaging Sdn Bhd (WFP), di mana Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny memperkenalkannya sebagai satu contoh syarikat pelaburan langsung asing dalam sektor pembuatan makanan yang beroperasi di salah sebuah tapak perindustrian negara.
WFP merupakan hasil pelaburan dari syarikat Marsa Yag Snayi Ve Ticaret Anonim Sirketi dari Republik Turki di mana kilang seluas 1.9 hektar itu memproses minyak sawit kepada marjerin dan shortening yang dieksport ke pelbagai negara di pasaran Asia dan Timur Tengah.
Pada masa ini, kilang itu mempunyai jualan tahunan bernilai AS$35 juta dengan kapasiti pembuatan sebanyak 200 tan marjerin sehari. Produk yang dihasilkan digunakan bagi pelbagai aktiviti hiliran termasuk coklat dan kilang-kilang biskut luar negara.
WFP mempunyai tenaga kerja seramai 67 orang di mana 57 orang atau 92 peratus daripadanya ialah warga tempatan. Tapak itu mengetengahkan potensi dan peluang yang wujud dari segi pemindahan teknologi, latihan dan peluang pekerjaan daripada kejayaan kemasukan pelaburan langsung asing.
Sementara itu, lawatan projek penapis minyak dan petrokimia di bawah Hengyi Industries Sdn Bhd di PMB merupakan satu lagi contoh projek kerjasama dengan pelaburan langsung asing di mana pemegang sahamnya adalah Damai Holdings Limited, Brunei Darussalam sebanyak 30 peratus saham dan Zhejiang Hengyi Petrochemical Co Ltd sebanyak 70 peratus saham.
Pentauliahan loji penapisan petrokimia itu dijadualkan pada tahun ini dan ia merangkumi projek hiliran minyak dan gas yang terbesar di Negara Brunei Darussalam pada masa ini. Apabila beroperasi nanti, loji itu akan menghasilkan pelbagai produk petrokimia termasuk minyak pesawat udara, diesel, minyak, LPG dan kimia-kimia dengan kapasiti sebanyak 175,000 tong sehari. Produk-produk berkenaan akan digunakan bagi pembuatan tekstil dan plastik.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menyatakan bahawa loji itu dijangka akan menjana sebanyak kira-kira 1,600 peluang pekerjaan secara langsung dengan perancangan bagi sekurang-kurangnya 50 peratus pekerjaan itu diisi oleh pekerja tempatan.
Syarikat itu, ulasnya, komited untuk sekurang-kurangnya meningkatkan jumlah pengambilan pekerja tempatan sebanyak 5 peratus setiap tahun di semua peringkat. Pada masa yang sama, terdapat peluang bagi penjanaan pekerjaan secara tidak langsung dan limpahan ekonomi yang timbul hasil daripada peruntukan barang dan perkhidmatan bagi menyokong operasi projek berkenaan.
Perkembangan dan pelaksanaan projek berkenaan dipantau secara dekat menerusi pendekatan seluruh kerajaan (whole of government) dan dikawal selia oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Kementerian Pembangunan, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, pasukan-pasukan keselamatan dan Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA). Projek berkenaan juga dikehendaki untuk memenuhi keperluan standard dan kelulusan yang ditetapkan oleh agensi-agensi kerajaan yang relevan.
Manakala itu, semasa lawatan ke JCB, ahli-ahli MMN diberikan penerangan bahawa pusat itu merupakan pusat kerjaya sehenti yang membantu untuk meningkatkan kemahiran pekerjaan dan kebolehpasaran dalam pasaran pekerjaan tempatan.
Antara yang dilaksanakan oleh pusat berkenaan ialah portal pekerjaan atas talian, perkhidmatan pemadanan pekerjaan, sokongan kerjaya, sesi temu duga, latihan dan kursus. Pencari kerja digalakkan untuk memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan oleh pusat berkenaan dan menyertai program-program yang dikendalikannya.
Pada masa yang sama, JCB juga menyokong semua sektor dengan menjadi penghubung kepada pembekalan bagi memenuhi keperluan pekerjaan. Usaha itu adalah selaras dengan aspirasi Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian untuk memudahkan peruntukan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri.
Sementara itu, lawatan ke DARe memperkenalkan inisiatif-inisiatif untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk iCentre iaitu sebuah pusat inkubasi bagi perusahaan baharu dan Pusat Sokongan Bisnes (BSC) yang bermatlamat untuk memudahkan pengemudi proses dan kelulusan kerajaan bagi PMKS dengan menempatkan 12 buah agensi kerajaan di bawah satu bumbung.