Oleh Yusrin Junaidi
BELAIT, 2 JULAI – Untuk meninjau dengan lebih dekat lagi usaha-usaha bagi projek pengairan di kawasan Lot Sengkuang, Mukim Labi, Daerah Belait, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong hari ini telah mengadakan lawatan kerja dan seterusnya melaksanakan penanaman padi di Lot Sengkuang, Mukim Labi, Daerah Belait.
Antara tumpuan dalam lawatan Yang Berhormat Dato di sini ialah lokasi percubaan bagi Projek Penerokaan Air Bawah Tanah dan lokasi bagi cadangan pembinaan empangan rendah di Sungai Rampayoh dan menaiktaraf Sistem Irigasi Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Lot Sengkuang, Mukim Labi.
Semasa lawatan itu, Yang Berhormat Dato telah mendengarkan taklimat yang disampaikan oleh Yong Khian Food mengenai projek penanaman padi di Lot Sengkuang, diikuti dengan penanaman padi yang dilaksanakan oleh Yang Berhormat Dato di ladang yang diusahakan oleh Yong Khian Fook.
Pelaksanaan penanaman padi berkenaan merupakan penanaman padi bagi luar musim 2020 yang mana melibatkan seramai lapan orang pengusaha padi dengan ladang berkeluasan 20.7 hektar.
Jenis-jenis padi yang ditanam di kawasan ini ialah jenis padi BDR5 dan MRQ76, yang masing-masing mempunyai potensi hasil sebanyak dua tan metrik sehektar semusim dengan mengambil kira kawasan ini tidak mempunyai sistem pengairan.


Yang Berhormat Dato seterusnya mengadakan lawatan ke lokasi bagi Projek Penerokaan Air Bawah Tanah. Projek kali ini merupakan fasa yang kedua iaitu kesinambungan fasa pertama yang mana melibatkan penyiasatan tapak melalui kaedah electrical resisti-vity tomography analysis.
Hasil kerja-kerja fasa pertama mendapati bahawa terdapat potensi keberadaan sumber air bawah tanah di KKP Lot Sengkuang. Kerja-kerja fasa ke-dua akan mula dilaksanakan pada bulan Julai ini dengan melibatkan pembinaan telaga percubaan bagi membuat ujian pengepaman untuk mengetahui kapasiti dan pemulihan air bawah tanah. Hasil keputusan daripada kedua-dua ujian berkenaan akan menentukan perlaksanaan fasa ketiga iaitu pembinaan telaga kekal di kawasan KKP Lot Sengkuang pada awal bulan Ogos 2020 nanti.
Lawatan Yang Berhormat Dato kemudiannya diteruskan ke lokasi bagi cadangan pembinaan empangan rendah di Sungai Rampayoh dan menaiktaraf Sistem Irigasi KKP Lot Sengkuang, Mukim Labi.
Cadangan pembinaan empangan rendah di Sungai Rampayoh dan menaiktaraf sistem irigasi KKP Lot Sengkuang ini merupakan salah satu lagi sumber alternatif untuk pengairan di kawasan tersebut, di mana air sungai berkenaan akan disalurkan ke ladang-ladang padi melalui saluran irigasi. Empangan rendah yang akan dibina menyeberangi Sungai Rampayoh diharap akan dapat menyimpan dan menaikkan paras air di bahagian aliran atas sungai pada musim panas untuk bekalan air irigasi.
Projek-projek pengairan berkenaan adalah bertujuan untuk menaiktaraf sistem pengairan di Lot Sengkuang, yang juga merupakan antara usaha-usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah meningkatkan lagi keluaran serta tahap sara diri bekalan beras negara dalam memastikan sekuriti makanan bekalan beras di negara ini adalah terjamin.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah, pegawai-pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan serta ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) Labi.
Terdahulu, kehadiran Yang Berhormat Dato dialu-alukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput yang juga pengerusi MPM Labi dan Yong Khian Fook.