Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinjau persediaan pelaksanaan pengintegrasian

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh serta rombongan telah mengadakan beberapa lawatan kerja secara serentak ke sekolah-sekolah rendah kerajaan dan swasta, hari ini.

    Lawatan tersebut diadakan adalah sempena pelaksanaan Pengintegrasian Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum yang akan bermula pada 1 November ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, lawatan itu bertujuan untuk meninjau dan menyaksikan secara lebih dekat persediaan dalam pelaksanaan pengintegrasian berkenaan.

    Ia juga bermatlamat untuk mengadakan sesi perbincangan bersama para pemimpin sekolah dan guru-guru agama.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan telah mengadakan lawatan kedua buah sekolah rendah kerajaan dan sebuah sekolah swasta di Daerah Brunei dan Muara iaitu Sekolah Rendah Mabohai, Sekolah Rendah Pusat Ulak dan Sekolah St Andrew.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa mengadakan lawatan kerja ke salah sebuah sekolah, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah mendengarkan penerangan semasa lawatan di salah sebuah sekolah. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Lawatan kerja itu menumpukan kepada peninjauan prasarana dan kemudahan sekolah seperti tempat berwuduk, ruang sembahyang, ruang makan, tempat menunggu dan lain-lain.

    Selain itu, rombongan juga berpeluang untuk menyaksikan dengan lebih dekat persediaan bagi pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran agama nanti setelah pengintegrasian bermula termasuk penjadualan bagi mata pelajaran berkenaan.

    Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan lawatan ke
    dua buah sekolah rendah kerajaan dan sebuah sekolah swasta di Daerah Brunei dan Muara iaitu Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana, Sekolah Rendah Mata-Mata dan Sekolah Rendah Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar.

    Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan pula telah mengadakan lawatan ke dua buah sekolah kerajaan dan sebuah sekolah swasta di Daerah Temburong iaitu Sekolah Rendah Puni, Sekolah Rendah Amo dan Sekolah Suria Jaya.

    Sementara itu, Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), di Kementerian Pendidikan telah mengadakan lawatan ke dua buah sekolah rendah kerajaan dan sebuah sekolah swasta di Daerah Brunei dan Muara iaitu Sekolah Antarabangsa Jerudong, Sekolah Rendah Rimba II dan Sekolah Rendah Rimba III.

    Lawatan kerja secara serentak ke 48 buah sekolah kerajaan dan swasta di semua daerah itu juga melibatkan para pegawai kanan dari KHEU dan Kementerian Pendidikan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda