Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 31 Dis – Bagi memantau perkembangan dan meninjau kerja-kerja pembinaan di tapak projek masjid baharu di Tutong, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan masjid Kampung Bukit Panggal, Daerah Tutong.
Turut menyertai rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama ialah Pemangku Setiausaha Tetap, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang juga Ketua Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dan Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Kerja Raya.
Pada lawatan itu, Yang Berhormat Pehin turut meninjau sekitar dan dalam masjid yang masih dalam fasa pembinaan di atas sebidang tanah berkeluasan lima ekar dengan anggaran peruntukan berjumlah $3 juta.
Yang Berhormat Pehin dan rombongan turut mendengarkan taklimat mengenai perkembangan pembinaan masjid baharu ini daripada Arkitek Jabatan Kerja Raya, Haji Muazzam bin Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.
Masjid baharu Kampung Bukit Panggal itu kini sudah pun siap hampir 93 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari ini. Ia merupakan masjid kedua yang dibina menggunakan peruntukan perbelanjaan dari Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Dengan kapasiti yang boleh memuatkan 600 sehingga 800 jemaah, masjid ini nanti akan mempunyai kemudahan seperti dewan sembahyang utama lelaki, ruang sembahyang perempuan, bilik kuliah, bilik perpustakaan dan teknologi maklumat, pejabat pentadbiran, bilik tetamu, pejabat imam dan bilal, tandas dan tempat berwuduk orang berkeperluan khas lelaki dan perempuan serta bilik pengurusan jenazah.
Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam masih lagi dibukakan kepada orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan menerusi akaun BIBD (00-001-01-0047148) atau TAIB (002109403102068) atau menyerahkan terus kepada Bahagian Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

