Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinjau proses penyembelihan, pelapahan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 8 JUN – Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd, anak syarikat Darussalam Assets Sdn Bhd, sekali lagi memainkan peranannya dalam memudahkan pelaksanaan ibadah korban pada tahun ini.

    Seperti tahun-tahun sebelumnya, dua hari pertama dikhususkan untuk penyembelihan ternakan import dan pengagihan daging-daging korban untuk ibadah korban sunat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat Baginda sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi telah dilaksanakan.

    Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd akan meneruskan perkhidmatan korban untuk institusi, syarikat, masjid dan orang ramai pada hari ketiga dan keempat.

    Keseluruhan operasi itu mengikuti perancangan strategik selama berbulan-bulan, termasuk pengimportan kira-kira 500 ekor lembu jantan, lembu dan kerbau dari Australia untuk memastikan kesihatan haiwan yang optimum dan pematuhan kepada piawaian agama dan kesihatan.

    Seramai 110 orang kakitangan syarikat berkenaan menanaikan amanah dalam menjayakan pelaksanaan perkhidmatan ibadah korban namun pihak syarikat juga memberi peluang kepada golongan pekerja sambilan serta pelajar yang ingin merasai pengalaman bekerja di rumah penyembelihan.

    Dalam pada itu, antara yang hadir bagi meninjau kerja-kerja proses penyembelihan dan melapah serta pembungkusan bagi haiwan ibadah korban sunat Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri serta kerabat diraja di syarikat berkenaan kelmarin ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan bersama pihak-pihak berkepentingan.

    Sehubungan itu, salah seorang wakil dari syarikat berkenaan, antaranya berkata, mereka berterima kasih kerana kepercayaan berterusan daripada orang ramai.

    “Melalui perkhidmatan ibadah korban kami, kami terus komited untuk menyokong amalan berkebajikan yang begitu bermakna ini dengan profesionalisme, kecekapan dan pematuhan penuh kepada undang-undang Syariah,” tambahnya.

    ABOVE & BELOW: Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama semasa meninjau operasi penyembelihan ternakan import dan pengagihan daging-daging korban di Syarikat PDS Abattoir Sdn Bhd. – GAMBAR SERAHAN SYARIKAT PDS ABATTOIR SDN BHD
    GAMBAR SERAHAN SYARIKAT PDS ABATTOIR SDN BHD
    GAMBAR SERAHAN SYARIKAT PDS ABATTOIR SDN BHD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda