Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Dato’ Dr Haji Nooh bin Gadot, bersama rombongan dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam.
Dato’ Dr Haji Nooh, serta rombongan berada di Negara Brunei Darussalam selama tiga hari mulai 22 April hingga esok.
Semasa berada di negara ini, rombongan berkesempatan melawat Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Tutong; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok; dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Tutong.
Sepanjang lawatan, delegasi dari Negeri Johor tersebut mendengar taklimat, seterusnya berbincang serta bertukar-tukar pandangan dan kemudiannya melawat ke beberapa buah kelas bagi meninjau sesi pengajaran dan pembelajaran Tahun 4 serta Pendidikan Khas Ugama.
Kerjasama dalam bidang pendidikan agama antara Negara Brunei Darussalam dan Negeri Johor telah terjalin sejak pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dengan mendatangkan dua orang pegawai agama dari Negeri Johor bertujuan untuk melaksanakan kajian terhadap pendidikan agama yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kerajaan ketika itu.

Lawatan bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta pemahaman yang lebih meluas mengenai sistem pendidikan agama di Negara Brunei Darussalam termasuk pelaksanaan Perintah Pendidikan Ugama Wajib, selain memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama dan persahabatan antara kedua-dua belah pihak.
Sehubungan itu, bagi meraikan kunjungan daripada rombongan JAINJ, satu majlis makan tengah hari diadakan di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan yang dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini bin Atan. Terdahulu, Dato’ Dr Haji Nooh dan rombongan pagi tadi mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Tetap, KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, bertempat di Dewan Multaqa, KHEU, Jalan Dewan Majlis.
Turut hadir, Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Misle bin Haji Abdul Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), Haji Shamshol bin Haji Omar.