Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 26 Julai – Rombongan seramai 19 orang pensyarah dari Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu, Kelantan Darul Naim hari ini, telah mengadakan lawatan ke blok pra di Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara (PKN) Bukit Beruang, Kluster 5, di sini.
Kehadiran rombongan yang diketuai Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Kelantan Darul Naim, Haji Hashim bin Deraman berkenaan turut dialu-alukan oleh Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Hajah Kostinah binti Haji Garif yang juga selaku guru besar Sekolah PKN Bukit Beruang.
Haji Hashim ketika ditemu bual mengongsi bahawa lawatan mereka ke sekolah tersebut bertujuan untuk melihat sistem pendidikan pra di Brunei dan seterusnya melatih guru-guru dari Jabatan Ilmu Pendidikan mengenai pendidikan awal kanak-kanak.


Selain itu, rombongan juga melihat pendidikan dasar Sekolah PKN Bukit Beruang boleh menjadi penanda aras dan ingin berkongsi ilmu, pengalaman daripada sekolah tersebut yang boleh diguna pakai.
Semasa lawatan, Haji Hashim amat tertarik dengan Sekolah PKN Bukit Beruang yang mempunyai ruang bilik khas pendidikan yang selesa dan sesuai untuk kanak-kanak pra sekolah.
Rombongan telah meninjau blok prasekolah di Sekolah PKN Bukit Beruang di mana mereka menyaksikan pembelajaran di kelas Pra A dan Pra B seterusnya melawat ke beberapa buah bilik khas seperti media, agama, aktiviti dan bilik Inggeris untuk murid-murid pra.