Tinjau usaha perekonomian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Aktiviti perekonomian Satu Kampung Satu Produk (1K1P) yang dikendalikan oleh beberapa buah majlis perundingan kampung (MPK) menjadi tumpuan bagi program lawatan kerja Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ke Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

Lawatan kerja itu merupakan kesinambungan lawatan kerja Yang Berhormat Pehin di Daerah Brunei dan Muara yang telah diadakan pada 3 Februari lalu dengan lawatan hari ini tertumpu pada MPK Tungku Katok, MPK Jerudong dan MPK Katimahar.

Turut menyertai rombongan lawatan kerja itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Gadong A, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin; Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut; Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, pegawai Daerah Brunei dan Muara serta pegawai-pegawai kanan KHEDN dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Lawatan kerja Yang Berhormat Pehin serta rombongan bermula di Ladang Nanas, yang diusahakan secara berkelompok oleh MPK Tungku Katok, di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Ketua Kampung Tungku Katok, Haji Ismail bin Haji Rajab yang kemudian menyampaikan taklimat mengenai perkembangan produk 1K1P MPK Tungku Katok.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika membuat lawatan kerja ke ladang nanas di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku, Mukim Gadong A.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika membuat lawatan kerja ke Taman Agri MPK Katimahar. – Gambar oleh KHEDN

Seterusnya Yang Berhormat Pehin berserta rombongan membuat lawatan ke ladang nanas.

Ladang Nanas MPK Tungku Katok terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku, Mukim Gadong A, sekitar 5km dari pusat bandar dengan keluasan sekitar 15 hektar yang dipecahkan kepada beberapa plot untuk dibahagi-bahagikan kepada 78 peladang yang berminat dengan sebanyak 71 plot tanah ladang telah dihasilkan dengan keluasan minimum 0.5 ekar setiap plot. Walau bagaimanapun, enam plot tanah tidak dapat dimajukan kerana tanah paya.

Misi MPK Tungku Katok adalah untuk menjadi pengusaha tanaman nanas yang berjaya dengan menghasilkan nanas bermutu tinggi dan berkhasiat serta memenuhi permintaan nanas dalam negeri, menyahut seruan kerajaan untuk menceburi bidang pertanian dan memberi peluang pekerjaan kepada anak kampung.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin serta rombongan melawat aktiviti perekonomian MPK Jerudong di mana rombongan telah mendengar taklimat mengenai produk perekonomian yang diusahakan oleh ahli-ahli MPK Jerudong iaitu Taman Lebah Kelulut Mejawa Jerudong yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Kampung Jerudong B (Kampung Peninjau), Haji Kamis bin Panjang.

Ladang yang bermula pada 2014 itu terletak di Mejawa Jerudong dengan keluasan satu ekar. Pada mulanya lebah kelulut berkenaan dipelihara untuk mengisi masa kosong setelah bersara daripada perkhidmatan kerajaan dengan memelihara sebanyak 20 log dan diniatkan untuk memenuhi keperluan sendiri.

Dengan peningkatan permintaan daripada saudara-mara, rakan dan orang ramai untuk membeli madu yang dihasilkan, para pengusaha meningkatkan jumlah ternakan lebah kelulut sehingga mencapai 100 log pada 2016 di mana penghasilan madu lebah kelulut berkenaan dimasukkan ke dalam 1K1P.

Dari situ, bermulanya era perkembangan madu lebah kelulut apabila mereka menyertai jualan ekspo yang dianjurkan oleh pelbagai pihak serta bernaung di bawah MPK Jerudong.

Lawatan Yang Berhormat Pehin serta rombongan diteruskan ke MPK Katimahar untuk melihat serta meninjau Taman Agri MPK Katimahar dengan taklimat mengenai dengan taman berkenaan disampaikan oleh Pengurus Taman, Haji Zainal bin Haji Safar.

Taman Agri MPK Katimahar terletak di Jalan Paya Kecil Teriti, Jalan Tutong dihasratkan menjadi salah satu tarikan ekopelancongan di Brunei, menyediakan kawasan riadah untuk pengunjung dari dalam dan luar negara, menyediakan kawasan kajian bagi penyelidik dan memulihara tanaman buah, tumbuhan dan herba tempatan.

Taman itu menyediakan pelbagai kemudahan bagi para pengunjung termasuk calet moden dan tradisional, tapak-tapak perkhemahan, kolam ikan dan aktiviti-aktiviti riadah seperti ATV.

Lawatan itu merupakan usaha berterusan KHEDN bersama jabatan-jabatan daerah untuk meninjau kegiatan-kegiatan yang dikendalikan oleh majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) dalam membantu pihak kerajaan meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat kampung khususnya melalui program-program kerja yang berunsurkan perekonomian.

Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk melihat perkembangan dan kemajuan kampung tersebut dan untuk mengeratkan lagi perhubungan antara pihak KHEDN dengan pimpinan di peringkat akar umbi khususnya penghulu mukim dan ketua kampung.

KHEDN menggalakkan usaha di peringkat akar umbi untuk mengembang majukan program 1K1P. Ia menjadi sebahagian daripada kegiatan dalam program ekonomi kemasyarakatan oleh penduduk-penduduk secara berkumpulan di bawah payung MPMK.

Siri lawatan berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengeratkan lagi kerjasama dan persefahaman yang sedia terjalin serta mengukuhkan rangkaian kerja dengan institusi mukim dan kampung dalam memelihara kesejahteraan serta kebajikan rakyat dan penduduk.