Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinjauan Pasaran SC 2025 kupas strategi pelaburan semasa

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Standard Chartered Securities menganjurkan acara tahunan Tinjauan Pasaran SC 2025 pada 8 Julai lalu di Serambi Suluh, Tarindak D’ Seni, dengan menghimpunkan lebih 150 pelanggan dan tetamu untuk malam prospek kewangan, perspektif pasaran dan rangkaian.

    Acara itu dimulakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Securities, Brenda Low menyampaikan ucapan alu-aluan yang menekankan kepentingan untuk sentiasa bermaklumat di tengah-tengah dinamik pasaran yang berkembang.

    “Sekali lagi, Amerika Syarikat menjadi tajuk utama dengan rang undang-undang baharu diluluskan dan saya pasti kami akan memerhatikan pergerakan pasaran dengan teliti. Dan walaupun kami mungkin tidak dapat mengawal banyak kejadian di peringkat global, kami pastinya boleh mengikuti perkembangan terkini dan bersedia menghadapi ketidaktentuan.

    “Walaupun ketidaktentuan mungkin terus menimbulkan kebimbangan, kami tetap komited untuk mengharungi waktu-waktu mencabar ini.

    “Di Standard Chartered, kami percaya bahawa penglibatan berterusan bersama awda, para pelanggan kami, adalah kunci dalam membantu awda mencari peluang dan mencapai kejayaan dalam aspirasi kewangan awda,” ujarnya.

    Sesi soal jawab menawarkan para hadirin peluang untuk mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pembentang. – GAMBAR SERAHAN STANDARD CHARTERED BRUNEI

    Brenda Low seterusnya menambah mereka percaya bahawa melalui kemas kini dan penglibatan yang kerap, mereka boleh membantu pelabur mempelbagaikan dan mencari peluang untuk terus melindungi portfolio mereka.

    “Mesej kami kekal konsisten untuk kekal berdisiplin dan kekal melabur untuk jangka panjang,” tekannya.

    Para tetamu berpeluang menyaksikan dua pembentangan yang menarik yang mana Ketua Strategi Peruntukan Aset dan Strategi Tematik di Kumpulan Pengurusan Kekayaan Bank Standard Chartered, Audrey Goh, menyediakan penerokaan mendalam selama 30 minit berkaitan pandangan makroekonomi dan tema pelaburan utama.

    Acara diikuti oleh Naib Presiden Kanan dan Pengurus Portfolio Institusi Kanan di Franklins Income Inverstors Singapura, Stephen Tong, berkongsi perspektif beliau dalam aliran ekonomi serantau dan global

    Acara kemuncak pada malam itu ialah sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Kaunselor Pelaburan Kanan, Awang Hazwan Kamarulzaman, yang menawarkan para hadirin peluang untuk mengemukakan soalan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pembentang.

    Perbincangan tersebut mencerminkan minat pelanggan yang semakin meningkat dalam mengemudi ketidakpastian dengan strategi termaklum.

    Malam itu diakhiri dengan makan malam dan rangkaian, di mana pelanggan berpeluang untuk terlibat secara langsung dengan pengurus perhubungan dan rakan-rakan hadirin dalam suasana perbualan yang santai.

    Standard Chartered ialah peneraju pasaran dalam pengurusan kekayaan yang telah menubuhkan tawaran di Brunei selama lebih 20 tahun dengan rangkaian produk dan perkhidmatan terluas digandingkan dengan pasukan penasihat terbaik untuk membantu pelanggan mengembangkan dan melindungi kekayaan mereka selaras dengan nilai dan aspirasi mereka.

    Bakal pelabur dikehendaki melengkapkan penilaian pemprofilan risiko pelanggan untuk memastikan pelanggan memahami selera risiko mereka sebelum mengambil sebarang produk kekayaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda