Friday, November 15, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tinjauan pendapat ramal kemenangan besar parti pemerintah India

    NEW DELHI, 2 JUN – Kebanyakan tinjauan pendapat kelmarin meramalkan penggal ketiga untuk Perdana Menteri Narendra Modi dan partinya, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada pilihan raya umum India. Bagaimanapun pihak pembangkang menolak tinjauan pengundi itu sebagai manipulasi dan tidak boleh dipercayai.

    Tinjauan berkenaan memberikan Perikatan Demokratik Nasional (NDA) yang diketuai BJP mendahului di lebih 350 kerusi Lok Sabha (dewan rendah parlimen) daripada sejumlah 543 kerusi yang dipertandingkan.

    Tinjauan NDTV-Jan Ki Baat meramalkan 362-392 kerusi untuk NDA dan 141-161 lagi untuk blok pembangkang, ‘Indian National Developmental Inclusive Alliance’ atau lebih dikenali sebagai INDIA.

    Tinjauan India Today-Axis My India memberikan 361-401 kerusi kepada NDA dan 131-166 kepada blok INDIA, manakala tinjauan Republic TV-PMARQ menunjukkan pakatan pemerintah menang 359 kerusi dan blok pembangkang mendapat 154.

    Tinjauan oleh Dainik Bhaskar memberikan kumpulan yang diketuai BJP 281-350 kerusi berbanding 145-201 untuk pakatan yang diketuai oleh Rahul Gandhi dari Parti Kongres India (Kongres).

    Bagaimanapun, tinjauan oleh Agni News Services memberikan majoriti 264 kerusi kepada blok pembangkang dan 242 kerusi kepada BJP dan sekutunya, menurut laporan di laman sesawang Oneindia.com.

    Mengulas mengenai tinjauan pendapat itu, pemimpin kanan BJP Shivraj Singh Chouhan berkata partinya akan memenangi 370 kerusi dan bersama sekutunya jumlah itu akan melebihi 400.

    Bekas ketua menteri Gujarat Vijay Rupani berkata beliau yakin Modi akan menjadi perdana menteri untuk kali ketiga.

    Pada pilihan raya umum 2019, NDA memenangi 353 kerusi dengan BJP sahaja meraih 303 kerusi. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda