MANILA, 13 Julai – Manny Pacquiao berkata bahawa dia akan ‘terus bertarung’ selepas juara baru welterwight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) Jeff Horn mahukan pertarungan semula untuk mengesahkan kemenangan hebatnya.
Legenda Filipina, Pacquiao, berkata dia tidak bersedia untuk menggantungkan sarung tangannya selepas secara kontroversi kalah kepada Horn di Brisbane pada 2 Julai.
“Saya menyayangi sukan ini dan sehingga minat itu hilang, saya akan terus bertarung untuk Tuhan, keluarga saya, penyokong saya dan negara saya,” kata petinju berusia 38 tahun itu dalam media sosial.
Imej wajahnya berdarah dimuat naik bersama kenyataan itu di akaun Twitter, Facebook dan Instagram miliknya dan kelihatannya terbuka untuk menerima pertarungan semula itu.
Ia dibuat selepas Horn memberitahu para wartawan di Amerika Syarikat bahawa dia adalah pemenang selayaknya dalam pertarungan itu tetapi hanya perlawanan semula dapat menyelesaikan kontroversi itu.
“Saya rasakan itu sudah selesai dan saya selayaknya menang pertarungan itu kerana keputusan sudah dinilai semula,” kata Horn kepada AFP di Los Angeles.
“Tetapi orang ramai kerap mempunyai pendapat sendiri dan anda tidak dapat mengubahnya. Jadi saya rasa satu-satunya cara menyelesaikannya adalah dengan pertarungan semula. Dan saya fikir saya akan melakukan lebih baik buat kali kedua.”
Kem Pacquiao tidak memberikan respons dengan segera kepada AFP apabila ditanya mengenai cabaran Horn itu hari ini. – AFP