Tinkerbell anjur majlis penyampaian sijil

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Sekolah Tinkerbell Learning (TLS), baru-baru ini, telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil ke-17 yang berlangsung di Scout Centre, Gadong.

Kira-kira 194 pelajar Tadika 3 hingga Tahun 6 mengambil bahagian dalam acara perarakan sebagai menghargai usaha pelajar yang mencapai keputusan akademik cemerlang.

Hadir selaku tetamu kehormat dan sekali gus menyampaikan sijil kepada pelajar adalah Awang Kassim bin Haji Ibrahim, dibantu oleh Presiden TLS, John Robert Bartholomew.

Dalam ucapan alu-aluannya, John Robert Bartholomew menekankan, pelajar remaja memerlukan nasihat ibu bapa yang memberangsangkan dan aktif berbanding mana-mana peringkat kehidupan mereka sebelumnya.

Beliau menggalakkan ibu bapa supaya menunjukkan minat dalam pergaulan anak mereka bersama kawan-kawan dan terlibat secara aktif dalam pembelajaran anak mereka di samping bersikap tegas dalam menerapkan nilai-nilai dan etika kepada anak mereka.

Acara diteruskan dengan penyampaian sijil, trofi dan hadiah kepada pelajar terbaik dan cemerlang, termasuk anugerah kesetiaan.

Tahun ini, kira-kira 15 pelajar dari sekolah tadika dan rendah menerima anugerah kecemerlangan akademik. Sementara itu, seramai 19 pelajar menerima anugerah kesetiaan. Seorang atlet cemerlang tahunan dan anugerah keputusan terbaik dalam kelas juga disampaikan kepada pelajar.

Acara berakhir dengan pelbagai persembahan pentas dan nyanyian oleh para pelajar.

John Robert Bartholomew menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan Awang Kassim. – Gambar daripada TLS