Oleh Raz AS –
Hobi memancing tidaklah semestinya mahal, namun tidak dapat dinafikan bahawa ia memerlukan kita untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli peralatan-peralatan yang diperlukan.
Terutama sekali peralatan yang mempunyai jangka hayat pendek seperti peralatan terminal dan tali pancing, yang mana peralatan ini memerlukan kita untuk membuat perbelanjaan berulang-ulang sama ada disebabkan ‘dicukai’ atau sudah rapuh, berkarat dan lain-lain.
Selain daripada berbelanja mengikut kemampuan dan tidak boros, kita juga boleh menerapkan sifat berjimat dalam penggunaan peralatan-peralatan pancing kita agar kita tidak perlu kerap mengeluarkan wang ringgit untuk peralatan tersebut.
Contohnya, untuk jimat dalam penggunaan tali utama khususnya tali sulam atau braided yang mana harganya lebih mahal berbanding jenis tangsi, penulis akan menggunakan backline iaitu mengisikan suku atau lebih daripada isi spool dengan tangsi terlebih dahulu sebelum menyambungnya dengan tali sulam.
Dengan ini lebihan tali sulam yang baharu dibeli itu boleh digunakan untuk mengisikan reel lain atau digunakan bagi menggantikan tali apabila sudah tiba masanya untuk digantikan.
Bercakap mengenai menggantikan tali, daripada menggantikan tali pancing di dalam spool dengan yang baharu begitu sahaja, cara penulis berjimat adalah dengan menterbalikkan tali tersebut yang di luar ke dalam, yang di dalam ke luar. Maksudnya tali pancing dikeluarkan semua kemudian dimasukkan semula dengan bahagian luar yang sudah semakin rapuh dimasukkan terlebih dahulu.
Selalunya kita hanya akan menggunakan sedikit, tidak lebih separuh, daripada tali di dalam spool ketika memancing, bahagian tersebut yang terdedah kepada elemen-elemen seperti pasir, air dan pancaran cahaya matahari akan menjadi semakin rapuh sedikit demi sedikit, manakala bahagian dalam yang jarang atau tidak pernah digunakan pula masih seperti dalam keadaan yang baik seakan-akan baharu.
Oleh itu manfaatkan sepenuhnya tali yang sudah lama tersembunyi di dalam spool tersebut untuk meneruskan perjuangan awda bagi beberapa musim lagi, jangan dibuang dan dibazirkan begitu sahaja.
Manakala itu, sebagai aktiviti yang dilakukan berdekatan atau di atas air, peralatan kita sememangnya tidak dapat lari daripada terkena basah sepenuhnya. Jika tidak terkena percikan air, mungkin terkena titisan hujan. Namun kita perlulah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan bahagian dalam kotak pancing, terutamanya kotak peralatan terminal yang mengandungi mata kail dan kili-kili sentiasa dalam keadaan kering.
Sekiranya terbasah dan kita terlalai atau terlepas pandang berkemungkinan peralatan-peralatan tersebut akan berkarat di dalam simpanan tanpa kita menyedarinya. Apabila peralatan-peralatan ini berkarat, jika hanya sebiji dua tidak menjadi hal, tetapi sekiranya membabitkan seluruh peralatan di dalam kotak itu terpaksalah kita menggantikan semua sekali.
Bagi mengurangkan risiko ini peralatan berkarat dalam simpanan, penulis memasukkan bungkusan gel silica ke dalam kotak peralatan terminal. Bungkusan gel silica itu boleh didapati di dalam kemasan makanan ringan atau kotak kasut, yang bertujuan untuk menyerap lembapan, memastikan produk-produk tersebut sentiasa kering dan tidak rosak.
Oleh yang demikian, lain kali semasa awda menikmati makanan ringan dan ternampak bungkusan gel silica atau membeli kasut baharu, kumpulkan dan simpan di dalam kotak pancing dan kotak terminal awda, Insya-Allah dapat membantu mengurangkan risiko karat.