Mencukur kaki adalah sebahagian daripada rutin penjagaan. Ia merupakan cara terpantas dan paling berpatutan untuk membuang bulu kaki berbanding alternatif seperti waxing atau pembuangan bulu kaki dengan menggunakan laser. Tetapi adakah awda bercukur dengan cara yang betul? Jika awda sentiasa mengalami kegatalan, timbul biji seperti strawberi pada kulit kaki dan luka, ia bermakna teknik yang awda gunakan adalah tidak betul.
Di samping itu, ada di antara awda yang tidak suka apabila bulu kaki tumbuh terlalu cepat. Berikut adalah antara cara dan tip mencukur bulu kaki dengan betul.
1. BASAHKAN KULIT DENGAN AIR SUAM
Basahkan kulit awda dengan air suam sebelum mencukur kerana ia membantu untuk melembutkan bulu kaki dan membuka liang-liang secara semula jadi. Cara tersebut sangat disarankan. Terutama apabila mencukur pada akhir mandi kerana kulit akan lebih terhidrat, bermakna kurang risiko ruam merah di kulit.
2. SAPUKAN KRIM ATAU GEL PENCUKUR
Apa sahaja yang awda lakukan, jangan sesekali bercukur apabila kulit kering. Ramai orang cedera akibat bercukur tanpa krim atau gel. Bercukur pada kulit kering atau hanya dengan air boleh menyebabkan ruam kulit daripada daya kasar pisau cukur. Krim atau gel membantu pisau cukur meluncur dengan lebih mudah ke atas kulit, mengurangkan kemungkinan parut atau pencukuran yang tidak rata.
3. MENCUKUR PADA ARAH PERTUMBUHAN BULU KAKI
Pakar mencadangkan untuk bercukur pada arah pertumbuhan bulu kaki. Walaupun ramai yang beranggapan bercukur melawan arah boleh memberikan pencukuran yang lebih rapat dan licin, sebaliknya ia meningkatkan risiko bulu kaki tumbuh ke dalam. Jangan sesekali mencukur pada bahagian yang luka. Jika awda mempunyai jangkitan kulit, bercukur di kawasan itu boleh melambatkan penyembuhan atau menyebabkan jangkitan merebak dan bertambah teruk.
4. LEMBAPKAN SELEPAS BERCUKUR
Sebaik sahaja awda selesai bercukur, pastikan awda menggunakan pelembap. Langkah tersebut penting kerana bercukur boleh mengganggu penghalang kulit, menyebabkan kemerahan dan gatal-gatal kulit.
5. PENJAGAAN PISAU CUKUR
Tidak menggantikan pisau cukur dengan kerap merupakan kesilapan pencukuran yang paling besar dan berbahaya. Apabila bilah menjadi tumpul, ia menjadi kurang berkesan dan juga berkemungkinan besar menyumbang kepada jangkitan kulit dan luka yang mendalam.
Adalah lebih baik untuk menggantikan bilah selepas setiap lima hingga tujuh kali penggunaan cukur.
Selepas bercukur, sentiasa bilas pisau cukur awda untuk menghilangkan bulu kaki yang melekat dan bakteria yang tidak diingini. Pastikan bilah benar-benar bersih setiap kali awda menggunakannya untuk meminimumkan kemungkinan kerengsaan dan jangkitan kulit.
Selain itu, awda juga dicadangkan untuk menyimpan pisau cukur di tempat yang sejuk dan kering kerana ia membantu meminimumkan kemungkinan pembentukan bakteria. Pada masa yang sama ia juga mampu mengurangkan kemungkinan karat dan memanjangkan jangka hayat bilah. – Agensi