Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip elak, atasi masalah mabuk laut

    Oleh Raz AS

    Memancing menggunakan bot memang seronok, senang cari lubuk tidak perlu tunggu lama-lama boleh berpindah randah sekiranya ikan tidak memakan umpan. Tidak perlu berebut-rebut port dengan pemancing lain seperti di jeti-jeti atau tebing, ikut suka hati hendak berlabuh di mana.

    Lebih seronok lagi jika memancing di laut lepas di mana ikan-ikannya jauh lebih besar dan memberi tentangan yang lebih hebat daripada ikan-ikan di sungai atau muara. Pecutan ikan-ikan pelagik seperti tenggiri, bemasa (GT), lingkoh (barracuda) dan bermacam-macam lagi ikan bersaiz trofi mengalahkan larian pecut 100 meter Usain Bolt, tali yang tidak henti-henti menghambur keluar daripada reel, drag menjerit nyaring dan joran melentur menyembah samudera memang 100 peratus dijamin sudah menjadi igauan setiap pemancing.

    Namun memancing di bot lebih-lebih lagi di laut lepas boleh menjadi pengalaman yang kurang menyenangkan kepada sesetengah pemancing.

    Bukan semua orang yang bergelar pemancing kebal daripada mabuk laut. Kepala pening, tekak loya dan muntah-muntah boleh membantutkan rasa iski untuk memancing.

    Sepuluh minit terasa bagaikan 10 jam, setiap saat menghitung waktu dengan perasaan rindu dendam pada daratan yang berkecamuk di dalam dada tidak sabar ingin menjejakkan kaki di atasnya.

    Memancing di bot lebih-lebih lagi di laut lepas boleh menjadi pengalaman yang kurang menyenangkan kepada pemancing kerana masalah mabuk laut.

    Penulis sendiri bukanlah orang yang 100 peratus kebal daripada mabuk laut jika turun memancing di laut lepas, silap hari bulan jika persiapan diri kurang untuk menghadapi keadaan laut beralun tinggi, penulis akan menghabiskan kebanyakan masa tidur di dalam bot dan hanya bangun apabila mendengar jeritan drag pancing atau berpindah tempat. Oleh yang demikian di sini penulis ingin mengongsikan beberapa tip yang penulis guna untuk mengelak dan mengatasi masalah mabuk laut kepada rakan-rakan pemancing yang senasib di luar sana.

    Tidur dan rehat yang cukup

    Dapatkanlah tidur dan rehat yang secukupnya sebelum turun memancing. Tidak kiralah hendak tidur berapa lama yang penting mendapat tidur yang nyenyak dan badan segar selepas bangun. Kepala yang pening kerana tidak cukup tidur boleh membuatkan anda mudah mendapat mabuk laut.

    Jangan biar perut kosong

    Isi perut terlebih dahulu sebelum turun memancing, biar perut kita mempunyai masa untuk menghadam makanan secukupnya jangan biarkan perut kosong dengan fikiran ingin bergegas ‘karang tah di perahu saja makan’.

    Perut yang kosong berisi dengan gas atau angin,elakkan juga memakan makanan yang boleh menyebabkan perut bergas seperti telur atau perut sejuk seperti pisang kerana angin yang susah keluar daripada perut boleh mempercepatkan masalah mabuk laut. Tambahan lagi jika tekak loya dan sudah ingin muntah tetapi perut kosong azabnya terasa sangat perit.

    Lihat pemandangan sekeliling

    Jangan banyak tunduk di dalam bot atau fokus lama pada benda yang terlalu hampir kerana boleh mengakibatkan pening.

    Oleh itu buatlah persiapan awal seperti mengikat tali perambut dan menyediakan peralatan memancing selengkapnya dari rumah lagi. Luaskan pandangan lihatlah suasana sekeliling di samping menikmati keindahan ciptaan Ilahi.

    Berbekal minuman bergas

    Meskipun kelihatannya seperti berlawanan dengan tip sebelumnya iaitu elakkan memakan makanan yang boleh menyebabkan perut bergas, namun mengikut pengalaman penulis sendiri ia sangat berhasil mengatasi masalah mabuk laut. Ini kerana minuman bergas memudahkan kita untuk bersendawa atau ‘betarap’ dan melepaskan gas yang berkumpul di dalam perut. Oleh yang demikian selain air putih penulis akan selalu membawa sebotol minuman Coca-cola sebagai bekal dan ubat mabuk laut. Tambahan lagi minuman bergas yang disimpan dalam coolbox berisi ais sangat nikmat diminum ketika cuaca panas di tengah laut.

    Tidur

    Akhir sekali, jika semua persediaan sudah dibuat namun masalah mabuk laut masih terus bertandang, tidurlah sekejap di dalam bot, sekurang-kurangnya anda akan berasa sedikit kelegaan selepas terbangun untuk memeriksa umpan atau bertarung dengan ikan daripada berterusan menghadapi seksaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda