Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip elak kereta dicuri

    Kecurian kenderaan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa kita sedar. Justeru sebagai seorang pemilik kenderaan, awda dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengambil beberapa langkah berjaga-jaga bagi memastikan kenderaan awda kekal berada dalam keadaan selamat dan mengelak daripada dicuri penjenayah di luar sana. 

    Untuk artikel kali ini, BJAK akan mengongsikan kepada awda beberapa langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan kenderaan awda daripada dicuri.

    LETAK KENDERAAN DI TEMPAT YANG STRATEGIK

    Pada kebiasaannya, penjenayah gemar untuk melakukan jenayahnya di kawasan atau tempat yang sunyi dan jauh daripada perhatian orang ramai.

    Itu bermakna, amat penting untuk awda meletakkan kenderaan awda di tempat yang terang, tidak tersorok dan mudah dilihat oleh ramai orang. Jangan risikokan diri dan kenderaan awda dengan meletakkan kenderaan di tempat yang sunyi dan gelap terutama jika untuk masa panjang. 

    JANGAN TINGGALKAN BARANG BERHARGA

    Perkara ini mungkin sudah diketahui oleh awda, namun Bjak tetap ingin ingatkan kerana masih ada ramai lagi di luar sana yang mengambil mudah akan perkara ini. 

    Letakkan kenderaan awda di tempat yang terang, tidak tersorok dan mudah dilihat oleh ramai orang. – Gambar Freepik
    Jangan simpan barang-barang berharga di dalam kereta awda. – Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Mana tidaknya, ada lagi yang masih belum sedar apabila meletakkan dokumen atau barang-barang berharga di dalam kereta sehingga menjadi tumpuan penjenayah. Ingat, walaupun hanya untuk jangka masa yang singkat, kereta awda boleh dijadikan sasaran oleh pencuri untuk memecahkan kereta awda.

    Jika terdesak juga, sorokkan barang berharga tersebut di bawah tempat duduk, karpet atau di dalam bonet kereta. Jangan biarkan ia mudah dilihat oleh orang di luar untuk keselamatan kereta awda. 

    Namun tetap perlu diingatkan, ketika ingin sorokkan barang tersebut, janganlah pula sampai ia dilihat oleh orang lain. Berhati-hati dan jadi bijak untuk keselamatan awda. 

    PASTIKAN KERETA SENTIASA BERKUNCI

    Sebelum meninggalkan kereta, pastikan kenderaan awda itu dikunci dengan sebaiknya.

    Cek beberapa kali untuk memastikan kenderaan awda benar-benar telah selamat dan dikunci sebelum beredar tidak kiralah sama awda untuk tempoh waktu yang singkat atau lama.

    Ingat, kecurian boleh berlaku dalam sekelip mata tanpa awda sedar.

    ARAHKAN TAYAR KERETA PADA BENDUL ATAU DINDING TEMPAT PARKIR

    Dengan menghalakan tayar kereta awda ke arah bendul atau dinding tempat parkir, ia akan menyukarkan penjenayah untuk mencuri kereta awda dengan menggunakan kereta trak tunda.

    PEKA DENGAN KEADAAN SEKELILING

    Sebelum meletakkan kenderaan di sesuatu tempat, pastikan awda peka dengan keadaan sekeliling kawasan itu dan pastikan ia selamat.

    Jika awda mendapati kawasan itu agak berisiko dan terdedah dengan sebarang aktiviti jenayah, segera pandu ke tempat lain untuk ubah parkir awda. Jangan hanya kerana ingin mudah dan cepat sampai, awda merisikokan diri dan kenderaan awda.

    SOROKKAN TELEFON BIMBIT YANG TIDAK DIGUNAKAN DALAM KERETA

    Satu tip akhir yang awda boleh pertimbangkan adalah dengan menyorokkan sebiji telefon yang sudah tidak digunakan lagi di dalam kereta. Namun, awda perlu pastikan bateri telefon masih penuh dan mempunyai data internet. 

    Synchronize dan log masuk ke akaun Google awda. Itu kerana jika berlaku sesuatu seperti kecurian kereta, awda boleh mengesan kereta awda dengan menggunakan fungsi ‘Find My Phone’.

    Bolehkah tuntut insurans jika kereta dicuri?

    Di Malaysia, tuntutan insurans untuk kecurian kereta boleh dibuat asalkan awda memenuhi dua kriteria di bawah ini:

    i) Kereta awda dilindungi dengan polisi insurans jenis komprehensif atau insurans pihak ketiga, kebakaran dan kecurian.

    ii) Insurans awda masih berkuat kuasa (belum tamat tempoh) ketika kejadian curi berlaku.

    Bagaimanakah cara untuk membuat tuntutan insurans akibat kecurian?

    Langkah untuk membuat tuntutan insurans di Malaysia akibat kecurian adalah seperti di bawah:

    – Buat laporan di balai polis berhubung kejadian dengan segera.

    – Berikan butiran dan maklumat lengkap mengenai kereta awda.

    – Hubungi syarikat insurans untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

    – Isi borang tuntutan dengan lengkap bersama dokumen penting. Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah; i) borang tuntutan yang telah diisi dengan lengkap ii) salinan laporan polis iii) salinan kad pengenalan iv) salinan lesen memandu v) salinan geran kereta.

    Serah dokumen tersebut kepada syarikat insurans dalam masa tujuh hari. Awda diingatkan untuk sentiasa berhubung dengan syarikat insurans semasa siasatan polis berjalan.

    Tempoh pampasan diberi tuntutan insurans mungkin akan mengambil masa enam bulan atau sehingga siasatan tamat.

    Kebiasaannya siasatan pihak polis dan syarikat insurans akan mengambil masa yang agak lama. Sentiasa waspada dan ambil langkah berjaga-jaga Kecurian kereta mungkin boleh dielakkan sekiranya anda mengikuti beberapa tip yang dikongsikan di atas.

    Jangan mengambil sikap sambil lewa dan menganggap bahawa kejadian seperti itu tidak akan berlaku pada diri awda.

    Dalam pada itu, awda juga diingatkan untuk sentiasa memastikan kenderaan memiliki perlindungan insurans komprehensif atau pihak ketiga, kecurian dan kebakaran (TPFT) bagi memastikan tuntutan insurans boleh dibuat jika kenderaan awda dicuri. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda