LONDON – Telefon pintar adalah alat yang sangat berguna untuk kehidupan harian, tetapi ia mempunyai banyak maklumat mengenai awda, termasuk semua tempat yang pernah awda tuju – sekiranya awda memberikannya keizinan.
Apabila awda menggunakan aplikasi peta untuk mencari restoran baharu yang disyorkan oleh kawan awda, atau carian melalui telefon awda untuk mencari harga sesuatu yang awda nampak ketika berjalan-jalan di kedai, awda mungkin secara tidak sedar membenarkan telefon awda untuk menjejak lokasi awda dan mengongsikannya dengan orang lain.
Telefon menggunakan pelbagai signal untuk mencari lokasi awda, termasuk isyarat dari cel menara, tempat akses Wi-Fi, Bluetooth dan GPS.
Kadangkala telefon awda perlu mengetahui lokasi awda untuk memberikan perkhidmatan yang berguna, termasuk memberitahu pemandu Uber di mana untuk menjemput awda.
Tetapi dalam situasi lain, tiada keperluan untuk menjejak keberadaan awda, yang kemudiannya dieksploitasi oleh aplikasi, perkhidmatan iklan dan malahan penggodam.
“Dari penjejak kesihatan sehingga navigasi, setiap isyarat lokasi berpotensi mendedahkan maklumat mengenai laluan dan pergerakan awda – yang boleh memberikan risiko sekiranya berada di tangan yang salah,” kata CEO Keeper Securitu, Darren Guccione.
“Pengguna perlu membuka penjejak lokasi sekiranya perlu sahaja, seperti semasa menavigasi, kecemasan atau mengongsikan perkembangan dengan kontak yang dipercayai, dan segera mematikannya selepas itu.”
Pakar memberi amaran data lokasi boleh digunakan untuk mengongsikan lokasi untuk menghendap seseorang, atau pasangan yang bersikap kasar boleh memaksa awda untuk mengongsikan lokasi sebagai cara untuk mengongkong,” kata David Ruiz, penasihat privasi kanan di sebuah syarikat keselamatan siber, Malwarebytes.
Di sini dikongsikan beberapa tip untuk memastikan perkongsian lokasi berada di tahap minimum:
KEBENARAN APLIKASI
Pergi ke panel kawalan telefon awda untuk menyemak kebenaran.
Pengguna iPhone boleh pergi ke tab Privacy & Security, kemudian ke Location Services untuk menyemak tetapan bagi setiap aplikasi. Pakar keselamatan siber menasihatkan agar tidak membenarkan aplikasi sentiasa menggunakan lokasi awda semasa tidak digunakan.
Sebaliknya, tetapkan aplikasi untuk sama ada meminta kebenaran sebelum menggunakan lokasi, menggunakannya hanya semasa aplikasi dibuka, atau tidak menggunakannya langsung.
Semasa berada di Location Services, awda mungkin melihat anak panah kecil yang menunjukkan aplikasi yang telah menggunakan lokasi awda. Ungu bermaksud baru-baru ini, manakala kelabu menunjukkan ia digunakan dalam tempoh 24 jam terakhir.
Untuk telefon Android, ia mungkin sedikit berbeza kerana terdapat banyak versi daripada pelbagai pengeluar. Secara amnya, pergi ke Settings, kemudian ketik ikon Location untuk menghidupkan atau mematikan lokasi bagi semua aplikasi.
Untuk menyesuaikan tetapan bagi aplikasi tersebut, ketik App Location Permissions, di mana awda akan mendapat pilihan yang serupa dengan iOS.
AKAUN GOOGLE AWDA
Selain menyemak kebenaran aplikasi pada peranti awda, adalah idea yang baik untuk memeriksa akaun Google awda juga.
Google terpaksa lebih telus mengenai amalan penjejakan lokasinya selepas laporan The Associated Press pada tahun 2018 mendapati syarikat itu masih menjejak data lokasi pengguna walaupun mereka telah memilih untuk menyahaktifkan ciri yang dipanggil ‘Location History.’
Pergi ke myaccount.google.com dan kemudian ke bahagian Data & Privacy, di mana awda akan menemui kawalan untuk Location History.
Berdasarkan perubahan terkini, sejarah lokasi akan dipadam selepas tiga bulan secara automatik, tetapi awda boleh menukar default setting jika mahu.
PELAYAR WEB
Pelayar web popular pada telefon pintar seperti Safari atau Chrome boleh mendedahkan lokasi awda.
Oleh itu, cuba gunakan pelayar yang tidak menyimpan maklumat peribadi awda, seperti DuckDuckGo, Firefox Focus atau Ecosia.
FIND MY DEVICE
Telefon atau tablet juga boleh dijejaki menggunakan ciri Find My daripada Apple atau Find My Device daripada Google untuk membantu mendapatkan semula peranti yang hilang.
Jika awda mengesyaki seseorang telah mendapatkan akses ke akaun Apple atau Google awda, awda boleh mematikan ciri ini untuk mengelak peranti awda daripada dijejaki tanpa kebenaran.
BLOK ISYARAT
Beberapa laman web keselamatan siber mengesyorkan menggunakan mod kapal terbang, tetapi ia tidak selalu mematikan semua isyarat sepenuhnya, jadi awda tidak boleh bergantung padanya.
Sebagai alternatif, beg Faraday yang menyekat isyarat adalah pilihan yang lebih berkesan.
Walau bagaimanapun, pastikan awda mengujinya terlebih dahulu untuk memastikan ia benar-benar menyekat semua isyarat.
Perlu diingat juga bahawa awda perlu mengeluarkan peranti daripada beg untuk menggunakannya.
KESEIMBANGAN DAN KESULITAN
Terdapat begitu banyak cara bagi telefon pintar – dan juga peranti lain seperti jam tangan pintar – untuk menjejak lokasi kita sehingga sukar untuk menyediakan senarai lengkap langkah-langkah perlindungan.
Hubungan antara dengan aplikasi, syarikat, dan platform adalah mereka menjejak kita, “yang menjadikannya lebih sukar untuk kita mengawal semua saluran di mana data kita dihantar,” kata David Ruiz.
“Hakikat yang menyedihkan ialah, untuk mematikan semuanya, kita perlu masuk ke tetapan peranti dan menyemak setiap aplikasi satu per satu, serta membuat keputusan individu mengenai cara aplikasi tersebut mengumpul data lokasi kita,” tambah Ruiz.
Pilihan lain adalah mematikan data lokasi sepenuhnya, tetapi ini boleh menyebabkan ketidakselesaan seperti perlu memasukkan alamat secara manual dalam aplikasi e-hailing atau tidak dapat menggunakan peta dengan navigasi masa nyata. – AP